Sepanjang 2 bulan aku berada di rumah anak yatim terlalu banyak ilmu kehidupan yang aku peroleh secara tidak langsung yang mana sedikit sebanyak telah mambina jati diriku.Yang mana baik dijadikan teladan untuk diamalkan dalam kehidupan dan yang buruk dijadikan sempadan supaya kita lebih berhati-hati dalam kehidupan supaya tidak diamalkan. Aku memerhati corak kehidupan mereka setiap hari dan membuat kesimpulan sendiri berdasarkan ilmu di dada.
Baru aku tersedar..
"Awak kena terima hakikat bahawa setiap anak-anak di sini ramai dikalangan mereka adalah terbiar dan kekurangan kasih-sayang..ada antaranya saya ambil dalam keadaan sehelai sepinggang.jadi awak tak boleh menjangka dan mengharap sesuatu yang tinggi daripada mereka" Pesan isteri YB ADUN kawasan itu yang juga pengerusi asrama tersebut ketika aku mencadangkan beberapa perkara untuk dipertingkatkan ketika mesyuarat.
Aku agak terkejut masa mula-mula sampai kat sini. Sangat berbeza dengan cara hidup aku selama 5 tahun aku tinggal di asrama SMKA TAHAP. Peraturan yang dibuat hanya sekadar peraturan tanpa pelaksanaan yang mantap. Aku tak menyalahkan anak-anak di sini tetapi mungkin pengurusannya yang kurang mantap. Aku sangat sayang masa depan adik-adik di sini sebab hanya dengan ilmu sahaja mereka dapat mengubah cara hidup keluarga mereka tetapi mereka kurang ambil serius tentang soal pembelajaran terutama masa untuk study yang mana bagi aku masa 'prep' yang disediakan oleh pihak sekolah aku dahulu sangat berharga bagi aku untuk mengulangkaji pelajaran. Mereka seperti pahat dan penukul yang mana setiap aktiviti yang dilakukan setiap hari perlu diarah tanpa ada inisiatif sendiri untuk melakukannya. Aku memang tidak berhajat untuk terlalu berkeras dengan mereka memandangkan aku hanya sebentar sahaja menumpang di sini. 
Belajar sekadar untuk periksa..
Aku agak sedih sebab banyak perkara-perkara asas tentang agama adik-adik ini tidak tahu. Bila aku tanya tak pernah diajar ke di sekolah mereka kata pernah cuma mereka tidak mempraktikkan apa yang dipelajari. Aku mencadangkan kepada pihak pengurusan supaya mengadakan kuliyah antara maghrib dan Isyak untuk anak-anak di sini kerana bagi aku melalui kerohanian dapat membentuk akhlak dan keperibadian mereka. Ini juga berdasarkan pengalaman aku sebelum ini yang mana segala tazkirah yang disampaikan sepanjang berada di SMKA TAHAP dulu banyak mentarbiyah diri aku yang mana aku gunakan sehingga ke hari ini. Aku pernah terfikir kepada siapalah adik-adik ini hendak rujuk jika mereka ada sebarang masalah yang berkaitan agama selepas ini..Aku dapat melihat minat adik-adik ini untuk mengetahui apabila aku mula mengeluarkan hal-hal yang asas yang berkaitan agama cuma mereka tiada saluran khusus untuk mempelajarinya.
Kemana hilangnya rasa malu seorang muslimah..
Aku sekali lagi terkejut apabila melihat adik-adik muslimah hampir hilang rasa malunya terutamanya dalam hal ikhtilat dengan adik-adik muslimin. Huru-hara di dunia akan berlaku apabila muslimah telah hilang rasa malunya. Tidak malu untuk mendedahkan aurat sesuka hati, mengeluarkan suara-suara yang kesat dan lantang.Aku lebih suka jika mereka merasakan diri bertuhan dimana takut untuk melakukan perkara yang bertentangan walau dimanapun berada kerana yakin bahawa tuhan sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka. Malangnya berdasarkan pemerhatian aku mereka lebih takut kepada aku dan staf yang lain. Antaranya bila nampak aku keluar dari bilik baru mereka akan kelam kabut lari untuk cari tudung.
Perjuangan Rasulullah..
Pada ketika ini kisah perjuangan Rasulullah banyak mengubat kedukaan hati aku yang kadang-kadang tak terbendung rasa. Memikirkan yang Rasulullah lebih banyak kesulitan dalam kehidupan hariannya membuat hatiku sedikit terubat.Biasanya kalau aku sedih aku akan luahkan melalui air mata dan tulisan.Aku praktikal sorang jadi tiada kawan untuk diluahkan perasaan.
"Ya Allah kau berilah aku kekuatan dalam menghadapi dugaan yang engkau berikan ini. Kau kuatkanlah semangatku Ya Allah…Hambamu ini lemah sangat rasa nak terduduk rasanya menahan beban yang ku alami ini.. aku perlu bertahan…tahan dengan kerenah manusia yang pelbagai sifatnya..sukar difahami.." Ini antara catatan aku apabila aku tak tahan sangat. Praktikal ini banyak mengajar aku erti kesabaran yang sangat tinggi.Kalau aku tak mampu bersabar pasti banyak perkara yang buruk akan berlaku.Aku tak mahu sebarang masalah wujud antara aku dengan mereka disini. Alhamdulillah memang tiada masalah bila aku menamatkan praktikalku.
Lihat carik di kain sendiri..
Satu lagi perkara penting yang aku belajar adalah kita kadang-kadang terlalu melihat kesilapan orang lain tanpa memikirkan kembali bahawa kita lebih banyak kekurangan sebenarnya. Carik di kain orang yang sedikit dari jauh lagi kita sudah nampak tetapi carik di kain kita yang terlalu besar tidak pernah kita perasan. Mungkin ini suatu penyakit sebenarnya.Lebih baik mengambil langkah untuk berdiam diri berbanding bercakap banyak dan sia-sia.Syaitan telah menyogokkan kita dengan api keseronokan apabila bercakap tentang keburukan orang lain tanpa kita sedar ataupun tidak. Lebih banyak bercakap lebih banyak dosa yang kita lakukan..
Ini adalah sedikit catatan yang dapat aku kongsikan.Yang mana baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah dalam menjalani kehidupan harian.
Posted by
Rabiatul Adauwiyah Bt Mohd Pauzi
Labels:
catatan ilmu

0 comments:
Post a Comment