Mengakui kesilapan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Apa reaksi anda apabila ditangakap atau dituduh atas sesuatu kesalahan yang memang anda lakukannya?

Ada yang redha, tenang dan menerimanya dengan hati terbuka dan tak kurang juga yang memberontak dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar kerana tidak berpuas hati dengan tindakan diambil walaupun dia tahu dia memang salah. Reaksi manusia memang
pelbagai. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

Walaubagaimanapun kita sebagai muslim mesti yakin bahawa jika sesuatu kesalahan yang kita lakukan tidak dilihat oleh manusia yakinlah bahawa kita ada Tuhan yang Maha Melihat, Maha Menghitung dan Maha Adil ke atas segala tingkah laku kita di dunia. Walau sebesar zarah sekalipun kejahatan atau kebaikan yang kita lakukan ia tetap akan dihitung oleh Allah yang Maha Adil. Malaikat Raqib dan A'tid tidak pernah tidur untuk mencatat amalan kita.

Kita sering dihidangkan di dada-dada akhbar tentang manusia yang suka menyebarkan fitnah dan menghina antara satu sama lain dengan pelbagai cara dilakukan untuk menarik perhatian ramai. Ada juga yang terlibat dengan jenayah merogol, merompak, rasuah dan sebagainya. Bagaimana jika mereka yang bersalah ini mengupah peguam yang hebat sehingga mereka menang kes sedangkan mereka memang bersalah? perkara ini bergantung kepada iman dan taqwa yang ada dalam diri. Jika kita yakin adanya hari pembalasan pasti kita yakin bahawa jika di dunia ini kita dengan gembira terlepas daripada hukuman di akhirat kelak kita tidak akan terlepas daripada hukuman Allah sekiranya kita tidak mahu bertaubat.

Satu pengajaran yang saya dapat hari ini adalah saya mesti mengakui kesilapan diri. Saya memang salah. Saya yang melanggar peraturan asrama yang sudah tertulis mengharamkan para penghuni desa daripada membawa alat elektrik. Saya redha. Tiada gunanya saya menggunakan mulut yang Allah pinjamkan ini untuk menyumpah dan memarahi mereka yang menjalankan tugas mereka. Satu tazkirah yang saya peroleh semasa rancangan usrah rasa hati di ikim baru-baru ini kita tidak harus merasa gusar dengan dengan kehilangan harta dunia kerana ia bukan hak milik mutlak kita. Semua yang ada di dunia adalah pinjaman Allah untuk kita sebagai hambanya.

Andai sahaja kita mampu untuk tidak melupakan walau sekelip mata pun tentang cinta ALLAH, pasti hidup ini tiada (walau sedikitpun) kesengsaraan.

Sentiasalah merasakan kebersamaan Allah swt dalam kehidupan kita.

Belajar dari kesilapan

Wallahualam

Mana Milik Kita?

Saya benar-benar tersentuh mendengar petikan lirik nasyid dari kumpulan Rabbani ini,
'Mana Milik Kita'. Segala yang kita ada pada hari ini bukan milik kita. Semuanya milik Allah yang dipinjamkan kepada kita. Tapi kenapa kita masih berjalan di muka bumi dalam keadaan sombong dan takbur. Menggunakan anggota tubuh pinjaman Allah untuk melakukan kemaksiatan. Tak malukah kita?

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya

Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita

Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya

Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga

Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

Sekadar perkongsian

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam.

Sukar saya nak gambarkan perasaan saya pada hari ini. Saya berada di bengkel kesempurnaan solat pagi tadi seperti di awang-awangan sahaja rasanya. Antara perasaan gembira dan syukur. Rasa bersyukur yang tak terhingga kerana Allah memilih saya untuk berada dalam majlis ilmu yang diibaratkan seperti taman-taman syurga. Walaupun pada mulanya saya sangat terkilan apabila diberitahu oleh pihak penganjur tempat sudah penuh tapi di saat-saat akhir Allah mengizinkan saya untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang sangat berguna. Banyak sangat ilmu yang saya peroleh dalam beberapa minggu sempena Minggu Penghayatan Islam Ke-12 ini. Terima kasih kepada semua yang bekerja keras dalam melaksanakan pelbagai program. Semoga Allah memberkati usaha kalian.

Saya sekadar hendak berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi sepanjang kembara ilmu saya;

Sepertimana yang kita ketahui 'file solat' adalah perkara pertama akan dibuka dan dihisab pada hari penghitungan yang mana tiada hari penghitungan yang lebih adil daripada hari tersebut. Jika sempurna solat kita maka lebih mudahlah segala urusan kita yang lain. Jika solat fardhu kurang sempurna maka akan dilihat sekiranya ada solat-solat sunat yang dilakukan untuk menampung lompong-lompong yang ada di dalam solat fardhunya. Jadi marilah kita berusaha untuk bersolat dengan sempurna sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah sempurna syarat sah, rukun, sunat(jangan diambil ringan) dan memelihara daripada perkara yang membatalkannya. Bagaimana untuk bersolat dengan sempurna? jawapannya adalah dengan mempelajarinya melalui para ulama' atau melalui pembacaan.

Susah bukan untuk khusyuk dalam solat? Secara jujurnya saya mengakui. Kita tidak mampu untuk fokuskan diri kita untuk beribadat kepada Allah. Apabila sahaja takbiratulihram diangkat, otak kita akan menerawang ke merata tempat. Hanya badan dan mulut kita sahaja yang bergerak tapi roh atau hati kita tidak bersama-sama bergerak dengannya. Sebelum ini saya dapat perumpamaan daripada usrah rasa hati di ikim tentang orang yang tidak khusyuk ini seperti seorang rakyat yang dipanggil oleh rajanya untuk menghadap tapi apabila sampai ke istana dia hanya melepaskan kudanya sahaja ke dalam istana tapi dirinya berlegar-legar di luar. Pasti raja murka bukan. Satu lagi tadi saya dapat daripada Dr Abd Basit orang yang tidak khusyuk adalah seperti kita memberi hamba yang mati kepada raja. Tiada guna pemberian tersebut malah menyumbang kepada kemurkaan raja. Hari ini kita hati kita sudah terlalu jauh tenggelam dengan keenakan dunia sehingga di dalam solat juga susah untuk kita buang.

Satu lagi kita biasa dengar tentang orang bersolat tapi masih dihumbankan ke dalam neraka. Al-Baghy itu ialah satu lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam yang dalam lagi kotor makanan penghuninya yang khusus untuk orang yang mensia-siakan ibadah solatnya iaitu mereka yang melengahkan solat hingga hampir habis waktu atau hingga masuk ke waktu solat seterusnya. Perkara ini benar-benar menggerunkan saya. Semoga Allah beri saya dan sahabat-sahabat kekuatan untuk istiqamah solat di awal waktu terutamanya solat subuh yang sering menjadi masalah kepada kita untuk melawan nafsu. Terasa berat sangat untuk mengangkat selimut. Terasa susah sangat untuk bangun daripada katil dengan tilam yang empuk. Penghijrahan harus dimulakan daripada sekarang.Ya sekarang.Bukan esok atau lusa lagi. Tambahan pula Dr Danial ada berkongsi tadi bahawa seseorang yang bangun pada masa yang hampir sama setiap hari lebih sihat dan cergas untuk meneruskan tugasan hariannya. Tempoh yang sesuai untuk kita tidur adalah 6-7 jam. Jangan lebih daripada 8 jam atau kurang daripada 4 jam.

Perkara seterusnya yang turut membuat saya termenung panjang setelah menghadiri Forum Bicara Ad-Din yang berkisar tentang saudara-saudara kita di Palestin. 'Palestin merdeka, realiti atau fantasi? Terkilan saya mendengar kisah yang dibawa oleh para ahli panel. Dikala masyarakat kita hari ini sebok dengan hiburan melalaikan mereka di sana bergadai nyawa mempertahankan bumi yang menjadi kiblat pertama kita umat Islam. Kuat benar semangat jihad umat Islam di sana daripada kanak-kanak kecil sehingga kepada orang tua. Di kala masyarakat kita hari terlalu cintakan dunia dan takutkan mati mereka di sana sanggup mempertaruhkan nyawa tanpa ada perasaan takut.Ya memang syahid matlamat mereka. Iman mereka telah benar-benar mantap. Mereka yakin dengan janji Allah. Kita Bagaimana? Jangan duduk goyang kaki tanpa berbuat apa-apa di kala saudara seakidah dengan kita bertarung nyawa menyelamatkan bumi palestin. Sekurang-kurangnya berdoalah setiap hari untuk mereka semoga dengan doa kita tersebut Allah akan akan menurunkan pertolongan dalam bentuk yang kita tak sangka. Apalagi kita boleh buat? Ambil berat isu palestin, berikan sumbangan walau sedikit tapi percayalah ia sangat berharga buat mereka, sebarkan isu ini kepada saudara-saudara kita supaya kita sama-sama cakna, adakan sekatan ekonomi seperti boikot produk yang menyumbang kepada yahudi dan perkara yang turut menyumbang adalah dengan membina sahsiah diri yang baik dalam diri kita serta jangan terlalu lagha. Kita perlu fikirkan juga masalah ummah. Insyaallah Palestin pasti merdeka suatu hari nanti.

Kita hari ini sangat leka dengan keseronokan dunia sehingga kita lupa bahawa hidup kita ini adalah musafir yang destinasi akhirnya antara syurga atau neraka. Saya teringat istilah yang diberi oleh Dr Basit tadi bahawa wanita kita ramai yang 'menudung aurat' (jarang) dan 'membungkus aurat' (ketat) bukan lagi menutup aurat seperti yang disyariatkan. Saya terkilan dan sedih sangat apabila ada rakan-rakan yang asalnya memakai tudung tapi menanggalkannya apabila berada di luar kampus. Benarlah Allah mensyariatkan kepada wanita untuk menutup aurat untuk membezakan seorang muslimah dan bukan muslim. Baru-baru ini rakan saya sampai tak perasan rakannya sendiri kerana dilihatnya seperti bukan lagi seorang muslimah kerana dengan tidak segan silunya menanggalkan tudung.

Marilah kita sama-sama muhasabah kembali diri dengan baki usia yang Allah pinjamkan ini. Adakah wazan(timbangan) kita di akhirat kelak akan berat di bahagaian pahala atau dosa? Jika nak dibandingkan amalan kita ini terlalu sedikit untuk mengecap kenikmatan syurga yang tak ternilai hargnya.Tak terbayang di fikiran kita. Hati kita penuh tercalit dengan dosa dan maksiat? Layakkah kita untuk menjadi penghuni syurga?Atau kita lebih rela direndamkan ke dalam neraka? Jika anda rasa api kecil di dunia ini sudah tak mampu ditahan marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bertaubat di atas segala dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

Belajar untuk sabar dan menahan kemarahan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sabar dan menahan kemarahan. Dua perkara yang mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain. Apabila seseorang dalam keadaan marah kita minta dia untuk menahan kemarahannya dengan bersabar tapi mengungkapkannya sememangnya mudah tapi melaksanakannya ramai yang tewas di kala api kemarahan sedang marak di dalam diri. Fenomena sekarang yang hangat diperkatakan tentang pembakaran gereja mungkin salah satu puncanya bermula daripada perasaan marah yang membuak-buak dalam diri. Alangkah malunya jika ia dilakukan oleh mereka yang beragama Islam yang sudah sedia mengetahui bahawa "sabar itu separuh daripada iman" dan kemarahan bukan jalan penyelesaian terbaik malah mengeruhkan lagi keadaan.

Sabda Rasulullah sallallahualaihiwasallam;

Maksudnya:
"Bukanlah seorang yang kuat itu seorang yang kuat bertinju tetapi seorang yang kuat ialah yang dapat menguasai dirinya di waktu marah" (Muttafaqun 'alaih)


Secara jujurnya saya juga kadang-kala tidak sabar dan sukar menahan kemarahan terutama apabila berdepan dengan adik-adik di rumah. Tambahan pula peranan sebagai anak sulung yang perlu dimainkan. Kita kadang-kadang berang apabila nasihat, teguran dan arahan kita tidak diendahkan oleh adik-adik. Perkara yang saya akan buat kalau rasa nak marah sangat adalah berdiam diri sebab kalau saya melakukan sesuatu perbuatan atau mengeluarkan kata-kata dalam keadaan marah pasti terlalu banyak salah yang akan saya buat dan pastinya saya akan menyesal dengan tindakan tersebut. "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal tak sudah".Satu lagi perkara yang perlu saya hadapi adalah bidang kerjaya saya yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

"Kebiasaannya mak cik mula makan pukul berapa waktu pagi?"
"Mak cik biasa makan pukul 8 pagi"
"Biasanya mak cik makan apa?"
"Entahla kadang-kadang roti kadang-kadang makan oat......"
"Antara dua tu mana yang lebih kerap dalam seminggu?"
"Entahla ikut ada la"

Ini antara perbualan antara dietitian dengan pesakit. Sukar sangat nak dapatkan maklumat yang tepat daripada pesakit. Entahla saya mampu bersabar ke tak dengan mereka ini untuk 20-25 tahun yang akan datang lagi ni. Walaubagaimanapun saya mesti bersabar dan berfikiran positif. Mereka datang kepada kita untuk mendapatkan pertolongan dan kita mesti "stand in their shoes". Fahami masalah mereka. Mendengar masalah mereka juga telah menyelesaikan hampir 50% masalah mereka.

Wallahualam.

Alhamdulillah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah...itulah lafaz yang saya mampu ungkapkan atas apa yang berlaku pada hari ini. Bersyukur kerana Allah masih memanjangjan umurku ini untuk terus bermuhasabah sedalam-dalamnya atas kelemahan dan kelalaian diri. Saya harus bersangka baik kepada Allah. Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Saya masih terasa trauma dengan apa yang berlaku tadi. Hampir 22 tahun saya hidup di muka bumi Allah ini, inilah kali pertama saya terlibat dengan kemalangan walaupun tidak serius tapi ia tetap memberi impak yang besar dalam diri saya. Tuhan sahaja yang tahu betapa kuatnya degupan jantung saya ketika itu. Entahla saya masih boleh bawa motor atau kereta lagi selepas ini walaupun bukan saya yang bawa motosikal tadi. Mungkin fizikal yang sakit tak terasa sangat tapi mental yang sakit kerana terbayang-bayang perkara berlaku kadang-kadang mengganggu emosi. Saya selalu memikirkan perkara yang "kalaulah.......entah apa jadi. Macam tadi kalaulah ada kereta atau motor dari belakang entahla tuhan sahajalah yang tahu.

Saya pernah mengalami trauma yang sama ketika mula2 belajar kereta dahulu.Walaupun kejadian hanya berlaku di depan rumah sahaja dan tak de sebarang kecederaan, tapi 2-3 hari juga saya trauma. Sampai sekarang saya takut nak bawa kereta. Memang kita biasa dengar perkara yang kita takut kita perlu hadapi untuk menghilangkan traumanya tapi pemikiran negatif yang membelenggu pemikiran sukar dihapuskan. Minggu lepas saya beberapa kali dimotivasikan untuk membuang "imagenary wall" yang kita buat sendiri sehingga kita merasa kita tak mampu melakukannya tapi ia tidak memberi apa2 kesan jika saya sendiri tak mahu berubah.

Ya Allah Ya tuhanku berikanlah aku kekuatan....

-Adauwiyah-