Showing posts with label catatan ilmu. Show all posts
Showing posts with label catatan ilmu. Show all posts

pedoman buat ibubapa atau bakal...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam

saya sekadar mahu berkongsi bagi mereka yang sudah bergelar ibubapa atau mereka yang bakal bergelar ibubapa info yang perolehi yang saya rasa menarik untuk dikongsi bersama. Insyaallah semoga beroleh manfaat.

Kadang kala rasa terkilan lahir apabila pendidikan keagamaan diserah bulat-bulat oleh ibubapa kepada pihak sekolah sedangkan sebelum anak-anak masuk ke sekolah mereka langsung tidak didedahkan dengan pengamalan Islam. Anak-anak ini sangat suci hatinya. Mereka mudah menerima segala perkara baik mahupun buruk diberikan ibubapa. Maka jangalah contengkan minda mereka dengan perkara-perkara yang tidak sewajarnya. Secara peribadinya juga saya sangat sedih apabila melihat ibubapa dengan gembira dan bangga menghantar anak-anak mereka untuk menyertai pertandingan nyanyian dan sebagainya sejak dari kecil lagi.

5 garis panduan sewajarnya dititikberat oleh ibubapa dalam pendidikan anak-anak supaya mereka mampu menjadi seorang muslim,mukimin yang teguh imannya suatu hari nanti dengan pendidikan awal dan berkesan daripada ibubapa yang beriman;

1) Ibu bapa harus menjadikan perkataan syahadah sebagai kalimah awal yang didengari dan disebut oleh anak-anak. Seruan ini terbukti dengan gesaan Rasulullah S.A.W. agar anak-anak disambut menjelang kelahiran dengan kalimah-kalimah azan dan iqamat. Ibubapa juga harus berusaha supaya anak-anak mampu menyebut perkataan Allah dan kalimah syahadah. Ia akan menjadi satu tapak yangt kukuh dalam usaha tarbiyah keimanan.

2)Rasulullah S.A.W. juga meminta agar anak-anak didedahkan dengan sempadan hidup iaitu soal halal dan haram. Anak-anak perlu didedahkan dengan istilah-istilah seperti 'baik @ tak baik', 'Allah suka @ Allah tak suka', 'masuk syurga dan masuk neraka', 'dosa dan pahala' dan 'boleh dan tak boleh'. Ini bertujuan untuk memahamkan anak-anak bahawa kehidupan ini mempunyai batas-batas yang ditetapkan oleh Allah dan setiap apa yang dilakukan mempunyai implikasi dosa pahala.

3) Rasulullah S.A.W. juga meminta agar ibubapa menyuruh anak-anak beribadat sejak dari kecil lagi. Seruan ini terbukti melalui melalui sabdanya sebagaimana riwayat daripada Ibnu Amru bin Al-Ash r.a. bahawa baginda bersabda yang maksudnya;
"Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia demi sembahyang pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan antara mereka di tempat tidur" (Al-hakim dan Abu Dawud)

4) Rasulullah S.A.W. juga meminta agar para sahabat dan sekalian umat Islam mendidik anak-anak supaya mencintai Rasulullah serta keluarga Baginda kerana kecintaan ini akan mendorong anak-anak untuk mengetahui lebih lanjut kisah kehidupan Baginda dan keluarganya seterusnya menjadikan Baginda dan keluarganya sebagai contoh teladan dalam kehidupan.

5) Rasulullah S.A.W. juga menggalakkan umat Islam untuk mengajar anak-anak masing-masing membaca dan menghayati Al-Quran. Kecintaan kepada Al-Quran adalah asas kepada ketekunan dalam menuntut ilmu dan mengamalkannya mengikut panduan Islam disamping mendekatkan diri anak-anak kepada Allah seterusnya menyuburkan lagi iman anak-anak melalui kelaziman pembacaannya.

Sabda baginda daripada Ali bin Abi Talib bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang maksudnya;
"Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu dan mencintai keluarganya serta membaca Al-Quran kerana para pembaca Al-Quran berada di sisi arasy Allah bersama-sama para anbiya'Nya dan ashfiya'Nya pada hari hari tiada naunga melainkan naungan Allah sahaja" (Al-Tabrani)

Semoga kita menjadi anak yang soleh dan solehah kepada kedua ibubapa kita dan moga2 kita akan dikurniakan dengan anak-anak yang soleh serta solehah.Amin.


Wallahulam.


Sumber:Majalah muslimah Jul 08(huraian buku 'pendidikan anak menurut Islam')

Nikmat kesihatan

Dengan Nama Allah Yang Maha pemurah Lagi Maha Penyayang
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam

Ramai dikalangan kita hari ini termasuk diri saya tidak mampu melihat dan menilai pelbagai nikmat kurniaan Allah yang tak terhitung banyaknya dikurniakan kepada kita walaupun kita sering lalai daripada mengingatiNya. Amal ibadat kita yang banyak cacat celanya dan seringkali melakukan perkara maksiat, nikmat Allah tidak putus untuk kita. Jarang sekali kita dengar kalau orang yang mengumpat maka serta merta Allah tarik nikmat bercakap yang diberikan atau jika melihat perkara-perkara maksiat serta merta Allah tarik nikmat penglihatan. Betapa pengasih dan pemurahnya Allah kepada hambanya. Allah sesungguhnya Maha pengampun Lagi Maha menerima taubat hamba-hambanya. Allah masih memberi ruang dan peluang kepada hambanya untuk insaf dan bertaubat kepadaNya. Kita sahaja yang sering sombong dan takabur.

Satu nikmat yang jarang kita hargai tetapi apabila kita diuji dengan Allah menarik nikmat tersebut pasti hati kita akan keluh kesah adalah nikmat kesihatan. Kehidupan saya kini yang banyak dilingkungi oleh pesakit-pesakit yang datang untuk menerima rawatan membuatkan saya banyak berfikir dan kadang kala timbul rasa gerun dengan pelbagai penyakit yang boleh menyerang kita bila-bila masa sahaja tanpa mengenal usia.

Di Jabatan Perubatan Nuklear/Onkologi/Radiotherapy

Beberapa minggu kebelakangan ini saya dan rakan-rakan dietetik yang lain berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat keadaan sebenar pesakit-pesakit di HUSM ini. Minggu lepas saya berpeluang ke Jabatan Perubatan Nuklear/Onkologi/Radiotherapy. Jabatan ini khusus untuk rawatan pesakit kanser. Kebanyakan kos rawatan dan ubat-ubatan adalah sangat mahal. Alhamdulillah di hospital kerajaan kebanyakan ubat-ubatan diberikan secara percuma. Walaubagaimanapaun bagi mereka yang berstatus ekonomi tinggi pastinya ada pilihan ubat-ubatan yang lebih baik dan yang paling penting adalah jauh lebih mahal daripada ubat-ubatan yang disediakan oleh hospital kerajaan.

Antara kesan utama daripada rawatan radioterapi dan kemoterapi ini adalah pesakit akan menjadi letih, lemah dan yang paling ketara adalah akan hilang selera makan kerana deria rasa sedikit sebanyak akan terjejas. Sebab itu kita sering melihat pesakit-pesakit kanser kebiasaanya akan mengalami penyusutan berat badan yang sangat ketara sehingga menjadi 'cancer cachexia' dimana pesakit terlalu kurus sehingga nampak tulang. Kanser tiada ubat yang mampu menyembuhkannya cuma rawatan diberikan untuk memanjangkan jangka hayat dan mengurangkan kesakitan yang dialami.

Mengikut penerangan Pn Noza yang memberikan kepada kami pada hari tersebut, sokongan keluarga, masyarakat sekeliling, rakan sekerja dan majikan sangat penting dalam rawatan pemulihan untuk pesakit kanser. Mereka perlu datang kerap ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan selepas rawatan mereka sangat letih. Kadang kala bagi yang bekerja majikan atau rakan sekerja tidak memahami apabila pesakit selalu ambil cuti menyebabkan pesakit rasa putus asa dan tidak mahu datang lagi ke hospital bagi mendapatkan rawatan sedangkan rawatan itu sangat penting bagi mereka menyebabkan jangka hayat di kalangan mereka pendek. Tidak dinafikan ajal maut itu di tangan tuhan tapi kita boleh berusaha untuk merawati sesuatu penyakit selagi yang termampu. Pn Noza juga pesan pada kami supaya para profesional kesihatan mesti sentiasa senyum di samping memberikan dorongan dari segi mental dan spiritual kepada pesakit kerana semua ini sangat membantu pesakit dalam mengharungi ujian yang diberikan Allah ini.

Di Unit Hemodialisis

Hari ini pula saya dan rakan-rakan ke unit hemodialisis. Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu menjalani hemodialisis atau peritoneal dialysis bagi menggantikan fungsi buah pinggang yang telah rosak untuk menyingkirkan bahan-bahan kumuh yang tidak diperlukan oleh badan. Mereka perlu melakukannya sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan dan selagi tiada insan mulia yang mahu menyumbangkan buah pinggang mereka kepada pesakit. Pastinya motivasi yang sangat tinggi daripada pesakit sangat penting disamping sokongan daripada orang sekeliling. Saya dapat merasakan betapa nikmatnya Allah kurniakan saya dengan buah pinggang yang masih sihat. Walaupun kita merasakan proses buang air kecil itu satu perkara yang biasa dan tiada sebarang nilai tetapi bagi kebanyakan pesakit buah pinggang ini yang sudah hilang nikmat untuk membuang air kecil pastinya ia suatu yang sangat berharga bagi mereka. Setiap rawatan memang memerlukan kos yang tinggi. Di Husm, hanya staf dan ahli keluarga staf serta beberapa tanggungan hasil ihsan HUSM sahaja boleh menjalani rawayan di sini disebabkan bilangan mesin yang tidak mencukupi. Bagi mereka yang mampu pastinya pusat dialisis swasta menjadi pilihan.

Kepentingan 'mencegah lebih baik daripada merawat'

Segala penyakit sebenarnya berpunca daripada pemakanan seharian dan cara hidup seharian kita. Mengikut ceramah yang diberikan oleh Dr Nasoha Saabin beberapa minggu yang lalu, salur darah dalam usus bersambung kepada seluruh anggota tubuh kita. Jadi apabila usus kita bermasalah maka semua anggota tubuh yang lain akan bermasalah.

Berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah;
'Ketua badan adalah perut. Jika perut baik, maka dari itu akan mengalir darah yang membawa kesihatan yang baik. Jika perut tidak baik, maka daripada itu akan mengalir darah yang akan membawa penyakit'

(Imam Baihaqi)

Ikutlah pesanan Rasulullah supaya makan secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan, makan bila lapar berhenti sebelum kenyang. Perkara yang sering ditekankan kepada pesakit yang datang ke klinik dietetik pesakit luar adalah tujuan mereka datang ini bukan untuk mendengar dietitian cakap ini tak boleh makan itu tak boleh makan. Semua kita boleh makan selagi ia halal dan bersih tetapi bagaimana cara dan corak pemakanan itu diambil perlu ditekankan kepada pesakit bersesuaian dengan penyakit yang dialami. Bagi mereka yang sihat jangan terlau seronok makan tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari walaupun bagi mereka yang merasakan masih muda. Banyak pesakit yang mengalami penyakit kronik juga di kalangan orang muda seperti diabetes mellitus dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Ingatlah bahawa kesihatan adalah salah satu nikmat yang tak ternilai harganya. Jaga kesihatan sebaiknya. Be physically active!!jangan banyak makan tidur sahaja.

Wallahualam.

Sekadar perkongsian

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam.

Sukar saya nak gambarkan perasaan saya pada hari ini. Saya berada di bengkel kesempurnaan solat pagi tadi seperti di awang-awangan sahaja rasanya. Antara perasaan gembira dan syukur. Rasa bersyukur yang tak terhingga kerana Allah memilih saya untuk berada dalam majlis ilmu yang diibaratkan seperti taman-taman syurga. Walaupun pada mulanya saya sangat terkilan apabila diberitahu oleh pihak penganjur tempat sudah penuh tapi di saat-saat akhir Allah mengizinkan saya untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang sangat berguna. Banyak sangat ilmu yang saya peroleh dalam beberapa minggu sempena Minggu Penghayatan Islam Ke-12 ini. Terima kasih kepada semua yang bekerja keras dalam melaksanakan pelbagai program. Semoga Allah memberkati usaha kalian.

Saya sekadar hendak berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi sepanjang kembara ilmu saya;

Sepertimana yang kita ketahui 'file solat' adalah perkara pertama akan dibuka dan dihisab pada hari penghitungan yang mana tiada hari penghitungan yang lebih adil daripada hari tersebut. Jika sempurna solat kita maka lebih mudahlah segala urusan kita yang lain. Jika solat fardhu kurang sempurna maka akan dilihat sekiranya ada solat-solat sunat yang dilakukan untuk menampung lompong-lompong yang ada di dalam solat fardhunya. Jadi marilah kita berusaha untuk bersolat dengan sempurna sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah sempurna syarat sah, rukun, sunat(jangan diambil ringan) dan memelihara daripada perkara yang membatalkannya. Bagaimana untuk bersolat dengan sempurna? jawapannya adalah dengan mempelajarinya melalui para ulama' atau melalui pembacaan.

Susah bukan untuk khusyuk dalam solat? Secara jujurnya saya mengakui. Kita tidak mampu untuk fokuskan diri kita untuk beribadat kepada Allah. Apabila sahaja takbiratulihram diangkat, otak kita akan menerawang ke merata tempat. Hanya badan dan mulut kita sahaja yang bergerak tapi roh atau hati kita tidak bersama-sama bergerak dengannya. Sebelum ini saya dapat perumpamaan daripada usrah rasa hati di ikim tentang orang yang tidak khusyuk ini seperti seorang rakyat yang dipanggil oleh rajanya untuk menghadap tapi apabila sampai ke istana dia hanya melepaskan kudanya sahaja ke dalam istana tapi dirinya berlegar-legar di luar. Pasti raja murka bukan. Satu lagi tadi saya dapat daripada Dr Abd Basit orang yang tidak khusyuk adalah seperti kita memberi hamba yang mati kepada raja. Tiada guna pemberian tersebut malah menyumbang kepada kemurkaan raja. Hari ini kita hati kita sudah terlalu jauh tenggelam dengan keenakan dunia sehingga di dalam solat juga susah untuk kita buang.

Satu lagi kita biasa dengar tentang orang bersolat tapi masih dihumbankan ke dalam neraka. Al-Baghy itu ialah satu lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam yang dalam lagi kotor makanan penghuninya yang khusus untuk orang yang mensia-siakan ibadah solatnya iaitu mereka yang melengahkan solat hingga hampir habis waktu atau hingga masuk ke waktu solat seterusnya. Perkara ini benar-benar menggerunkan saya. Semoga Allah beri saya dan sahabat-sahabat kekuatan untuk istiqamah solat di awal waktu terutamanya solat subuh yang sering menjadi masalah kepada kita untuk melawan nafsu. Terasa berat sangat untuk mengangkat selimut. Terasa susah sangat untuk bangun daripada katil dengan tilam yang empuk. Penghijrahan harus dimulakan daripada sekarang.Ya sekarang.Bukan esok atau lusa lagi. Tambahan pula Dr Danial ada berkongsi tadi bahawa seseorang yang bangun pada masa yang hampir sama setiap hari lebih sihat dan cergas untuk meneruskan tugasan hariannya. Tempoh yang sesuai untuk kita tidur adalah 6-7 jam. Jangan lebih daripada 8 jam atau kurang daripada 4 jam.

Perkara seterusnya yang turut membuat saya termenung panjang setelah menghadiri Forum Bicara Ad-Din yang berkisar tentang saudara-saudara kita di Palestin. 'Palestin merdeka, realiti atau fantasi? Terkilan saya mendengar kisah yang dibawa oleh para ahli panel. Dikala masyarakat kita hari ini sebok dengan hiburan melalaikan mereka di sana bergadai nyawa mempertahankan bumi yang menjadi kiblat pertama kita umat Islam. Kuat benar semangat jihad umat Islam di sana daripada kanak-kanak kecil sehingga kepada orang tua. Di kala masyarakat kita hari terlalu cintakan dunia dan takutkan mati mereka di sana sanggup mempertaruhkan nyawa tanpa ada perasaan takut.Ya memang syahid matlamat mereka. Iman mereka telah benar-benar mantap. Mereka yakin dengan janji Allah. Kita Bagaimana? Jangan duduk goyang kaki tanpa berbuat apa-apa di kala saudara seakidah dengan kita bertarung nyawa menyelamatkan bumi palestin. Sekurang-kurangnya berdoalah setiap hari untuk mereka semoga dengan doa kita tersebut Allah akan akan menurunkan pertolongan dalam bentuk yang kita tak sangka. Apalagi kita boleh buat? Ambil berat isu palestin, berikan sumbangan walau sedikit tapi percayalah ia sangat berharga buat mereka, sebarkan isu ini kepada saudara-saudara kita supaya kita sama-sama cakna, adakan sekatan ekonomi seperti boikot produk yang menyumbang kepada yahudi dan perkara yang turut menyumbang adalah dengan membina sahsiah diri yang baik dalam diri kita serta jangan terlalu lagha. Kita perlu fikirkan juga masalah ummah. Insyaallah Palestin pasti merdeka suatu hari nanti.

Kita hari ini sangat leka dengan keseronokan dunia sehingga kita lupa bahawa hidup kita ini adalah musafir yang destinasi akhirnya antara syurga atau neraka. Saya teringat istilah yang diberi oleh Dr Basit tadi bahawa wanita kita ramai yang 'menudung aurat' (jarang) dan 'membungkus aurat' (ketat) bukan lagi menutup aurat seperti yang disyariatkan. Saya terkilan dan sedih sangat apabila ada rakan-rakan yang asalnya memakai tudung tapi menanggalkannya apabila berada di luar kampus. Benarlah Allah mensyariatkan kepada wanita untuk menutup aurat untuk membezakan seorang muslimah dan bukan muslim. Baru-baru ini rakan saya sampai tak perasan rakannya sendiri kerana dilihatnya seperti bukan lagi seorang muslimah kerana dengan tidak segan silunya menanggalkan tudung.

Marilah kita sama-sama muhasabah kembali diri dengan baki usia yang Allah pinjamkan ini. Adakah wazan(timbangan) kita di akhirat kelak akan berat di bahagaian pahala atau dosa? Jika nak dibandingkan amalan kita ini terlalu sedikit untuk mengecap kenikmatan syurga yang tak ternilai hargnya.Tak terbayang di fikiran kita. Hati kita penuh tercalit dengan dosa dan maksiat? Layakkah kita untuk menjadi penghuni syurga?Atau kita lebih rela direndamkan ke dalam neraka? Jika anda rasa api kecil di dunia ini sudah tak mampu ditahan marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bertaubat di atas segala dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

School of life

Sepanjang 2 bulan aku berada di rumah anak yatim terlalu banyak ilmu kehidupan yang aku peroleh secara tidak langsung yang mana sedikit sebanyak telah mambina jati diriku.Yang mana baik dijadikan teladan untuk diamalkan dalam kehidupan dan yang buruk dijadikan sempadan supaya kita lebih berhati-hati dalam kehidupan supaya tidak diamalkan. Aku memerhati corak kehidupan mereka setiap hari dan membuat kesimpulan sendiri berdasarkan ilmu di dada.

Baru aku tersedar..
"Awak kena terima hakikat bahawa setiap anak-anak di sini ramai dikalangan mereka adalah terbiar dan kekurangan kasih-sayang..ada antaranya saya ambil dalam keadaan sehelai sepinggang.jadi awak tak boleh menjangka dan mengharap sesuatu yang tinggi daripada mereka" Pesan isteri YB ADUN kawasan itu yang juga pengerusi asrama tersebut ketika aku mencadangkan beberapa perkara untuk dipertingkatkan ketika mesyuarat.
Aku agak terkejut masa mula-mula sampai kat sini. Sangat berbeza dengan cara hidup aku selama 5 tahun aku tinggal di asrama SMKA TAHAP. Peraturan yang dibuat hanya sekadar peraturan tanpa pelaksanaan yang mantap. Aku tak menyalahkan anak-anak di sini tetapi mungkin pengurusannya yang kurang mantap. Aku sangat sayang masa depan adik-adik di sini sebab hanya dengan ilmu sahaja mereka dapat mengubah cara hidup keluarga mereka tetapi mereka kurang ambil serius tentang soal pembelajaran terutama masa untuk study yang mana bagi aku masa 'prep' yang disediakan oleh pihak sekolah aku dahulu sangat berharga bagi aku untuk mengulangkaji pelajaran. Mereka seperti pahat dan penukul yang mana setiap aktiviti yang dilakukan setiap hari perlu diarah tanpa ada inisiatif sendiri untuk melakukannya. Aku memang tidak berhajat untuk terlalu berkeras dengan mereka memandangkan aku hanya sebentar sahaja menumpang di sini.



Belajar sekadar untuk periksa..

Aku agak sedih sebab banyak perkara-perkara asas tentang agama adik-adik ini tidak tahu. Bila aku tanya tak pernah diajar ke di sekolah mereka kata pernah cuma mereka tidak mempraktikkan apa yang dipelajari. Aku mencadangkan kepada pihak pengurusan supaya mengadakan kuliyah antara maghrib dan Isyak untuk anak-anak di sini kerana bagi aku melalui kerohanian dapat membentuk akhlak dan keperibadian mereka. Ini juga berdasarkan pengalaman aku sebelum ini yang mana segala tazkirah yang disampaikan sepanjang berada di SMKA TAHAP dulu banyak mentarbiyah diri aku yang mana aku gunakan sehingga ke hari ini. Aku pernah terfikir kepada siapalah adik-adik ini hendak rujuk jika mereka ada sebarang masalah yang berkaitan agama selepas ini..Aku dapat melihat minat adik-adik ini untuk mengetahui apabila aku mula mengeluarkan hal-hal yang asas yang berkaitan agama cuma mereka tiada saluran khusus untuk mempelajarinya.

Kemana hilangnya rasa malu seorang muslimah..

Aku sekali lagi terkejut apabila melihat adik-adik muslimah hampir hilang rasa malunya terutamanya dalam hal ikhtilat dengan adik-adik muslimin. Huru-hara di dunia akan berlaku apabila muslimah telah hilang rasa malunya. Tidak malu untuk mendedahkan aurat sesuka hati, mengeluarkan suara-suara yang kesat dan lantang.Aku lebih suka jika mereka merasakan diri bertuhan dimana takut untuk melakukan perkara yang bertentangan walau dimanapun berada kerana yakin bahawa tuhan sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka. Malangnya berdasarkan pemerhatian aku mereka lebih takut kepada aku dan staf yang lain. Antaranya bila nampak aku keluar dari bilik baru mereka akan kelam kabut lari untuk cari tudung.

Perjuangan Rasulullah..

Pada ketika ini kisah perjuangan Rasulullah banyak mengubat kedukaan hati aku yang kadang-kadang tak terbendung rasa. Memikirkan yang Rasulullah lebih banyak kesulitan dalam kehidupan hariannya membuat hatiku sedikit terubat.Biasanya kalau aku sedih aku akan luahkan melalui air mata dan tulisan.Aku praktikal sorang jadi tiada kawan untuk diluahkan perasaan.
"Ya Allah kau berilah aku kekuatan dalam menghadapi dugaan yang engkau berikan ini. Kau kuatkanlah semangatku Ya Allah…Hambamu ini lemah sangat rasa nak terduduk rasanya menahan beban yang ku alami ini.. aku perlu bertahan…tahan dengan kerenah manusia yang pelbagai sifatnya..sukar difahami.." Ini antara catatan aku apabila aku tak tahan sangat. Praktikal ini banyak mengajar aku erti kesabaran yang sangat tinggi.Kalau aku tak mampu bersabar pasti banyak perkara yang buruk akan berlaku.Aku tak mahu sebarang masalah wujud antara aku dengan mereka disini. Alhamdulillah memang tiada masalah bila aku menamatkan praktikalku.


Lihat carik di kain sendiri..
Satu lagi perkara penting yang aku belajar adalah kita kadang-kadang terlalu melihat kesilapan orang lain tanpa memikirkan kembali bahawa kita lebih banyak kekurangan sebenarnya. Carik di kain orang yang sedikit dari jauh lagi kita sudah nampak tetapi carik di kain kita yang terlalu besar tidak pernah kita perasan. Mungkin ini suatu penyakit sebenarnya.Lebih baik mengambil langkah untuk berdiam diri berbanding bercakap banyak dan sia-sia.Syaitan telah menyogokkan kita dengan api keseronokan apabila bercakap tentang keburukan orang lain tanpa kita sedar ataupun tidak. Lebih banyak bercakap lebih banyak dosa yang kita lakukan..

Ini adalah sedikit catatan yang dapat aku kongsikan.Yang mana baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah dalam menjalani kehidupan harian.