Dengan Nama Allah Yang Maha pemurah Lagi Maha Penyayang
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam
Ramai dikalangan kita hari ini termasuk diri saya tidak mampu melihat dan menilai pelbagai nikmat kurniaan Allah yang tak terhitung banyaknya dikurniakan kepada kita walaupun kita sering lalai daripada mengingatiNya. Amal ibadat kita yang banyak cacat celanya dan seringkali melakukan perkara maksiat, nikmat Allah tidak putus untuk kita. Jarang sekali kita dengar kalau orang yang mengumpat maka serta merta Allah tarik nikmat bercakap yang diberikan atau jika melihat perkara-perkara maksiat serta merta Allah tarik nikmat penglihatan. Betapa pengasih dan pemurahnya Allah kepada hambanya. Allah sesungguhnya Maha pengampun Lagi Maha menerima taubat hamba-hambanya. Allah masih memberi ruang dan peluang kepada hambanya untuk insaf dan bertaubat kepadaNya. Kita sahaja yang sering sombong dan takabur.
Satu nikmat yang jarang kita hargai tetapi apabila kita diuji dengan Allah menarik nikmat tersebut pasti hati kita akan keluh kesah adalah nikmat kesihatan. Kehidupan saya kini yang banyak dilingkungi oleh pesakit-pesakit yang datang untuk menerima rawatan membuatkan saya banyak berfikir dan kadang kala timbul rasa gerun dengan pelbagai penyakit yang boleh menyerang kita bila-bila masa sahaja tanpa mengenal usia.
Di Jabatan Perubatan Nuklear/Onkologi/Radiotherapy
Beberapa minggu kebelakangan ini saya dan rakan-rakan dietetik yang lain berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat keadaan sebenar pesakit-pesakit di HUSM ini. Minggu lepas saya berpeluang ke Jabatan Perubatan Nuklear/Onkologi/Radiotherapy. Jabatan ini khusus untuk rawatan pesakit kanser. Kebanyakan kos rawatan dan ubat-ubatan adalah sangat mahal. Alhamdulillah di hospital kerajaan kebanyakan ubat-ubatan diberikan secara percuma. Walaubagaimanapaun bagi mereka yang berstatus ekonomi tinggi pastinya ada pilihan ubat-ubatan yang lebih baik dan yang paling penting adalah jauh lebih mahal daripada ubat-ubatan yang disediakan oleh hospital kerajaan.
Mengikut penerangan Pn Noza yang memberikan kepada kami pada hari tersebut, sokongan keluarga, masyarakat sekeliling, rakan sekerja dan majikan sangat penting dalam rawatan pemulihan untuk pesakit kanser. Mereka perlu datang kerap ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan selepas rawatan mereka sangat letih. Kadang kala bagi yang bekerja majikan atau rakan sekerja tidak memahami apabila pesakit selalu ambil cuti menyebabkan pesakit rasa putus asa dan tidak mahu datang lagi ke hospital bagi mendapatkan rawatan sedangkan rawatan itu sangat penting bagi mereka menyebabkan jangka hayat di kalangan mereka pendek. Tidak dinafikan ajal maut itu di tangan tuhan tapi kita boleh berusaha untuk merawati sesuatu penyakit selagi yang termampu. Pn Noza juga pesan pada kami supaya para profesional kesihatan mesti sentiasa senyum di samping memberikan dorongan dari segi mental dan spiritual kepada pesakit kerana semua ini sangat membantu pesakit dalam mengharungi ujian yang diberikan Allah ini.
Di Unit Hemodialisis
Hari ini pula saya dan rakan-rakan ke unit hemodialisis. Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu menjalani hemodialisis atau peritoneal dialysis bagi menggantikan fungsi buah pinggang yang telah rosak untuk menyingkirkan bahan-bahan kumuh yang tidak diperlukan oleh badan. Mereka perlu melakukannya sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan dan selagi tiada insan mulia yang mahu menyumbangkan buah pinggang mereka kepada pesakit. Pastinya motivasi yang sangat tinggi daripada pesakit sangat penting disamping sokongan daripada orang sekeliling. Saya dapat merasakan betapa nikmatnya Allah kurniakan saya dengan buah pinggang yang masih sihat. Walaupun kita merasakan proses buang air kecil itu satu perkara yang biasa dan tiada sebarang nilai tetapi bagi kebanyakan pesakit buah pinggang ini yang sudah hilang nikmat untuk membuang air kecil pastinya ia suatu yang sangat berharga bagi mereka. Setiap rawatan memang memerlukan kos yang tinggi. Di Husm, hanya staf dan ahli keluarga staf serta beberapa tanggungan hasil ihsan HUSM sahaja boleh menjalani rawayan di sini disebabkan bilangan mesin yang tidak mencukupi. Bagi mereka yang mampu pastinya pusat dialisis swasta menjadi pilihan.
Kepentingan 'mencegah lebih baik daripada merawat'
Segala penyakit sebenarnya berpunca daripada pemakanan seharian dan cara hidup seharian kita. Mengikut ceramah yang diberikan oleh Dr Nasoha Saabin beberapa minggu yang lalu, salur darah dalam usus bersambung kepada seluruh anggota tubuh kita. Jadi apabila usus kita bermasalah maka semua anggota tubuh yang lain akan bermasalah.
Berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah;
'Ketua badan adalah perut. Jika perut baik, maka dari itu akan mengalir darah yang membawa kesihatan yang baik. Jika perut tidak baik, maka daripada itu akan mengalir darah yang akan membawa penyakit'
(Imam Baihaqi)
Ikutlah pesanan Rasulullah supaya makan secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan, makan bila lapar berhenti sebelum kenyang. Perkara yang sering ditekankan kepada pesakit yang datang ke klinik dietetik pesakit luar adalah tujuan mereka datang ini bukan untuk mendengar dietitian cakap ini tak boleh makan itu tak boleh makan. Semua kita boleh makan selagi ia halal dan bersih tetapi bagaimana cara dan corak pemakanan itu diambil perlu ditekankan kepada pesakit bersesuaian dengan penyakit yang dialami. Bagi mereka yang sihat jangan terlau seronok makan tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari walaupun bagi mereka yang merasakan masih muda. Banyak pesakit yang mengalami penyakit kronik juga di kalangan orang muda seperti diabetes mellitus dan kegagalan fungsi buah pinggang.
Ingatlah bahawa kesihatan adalah salah satu nikmat yang tak ternilai harganya. Jaga kesihatan sebaiknya. Be physically active!!jangan banyak makan tidur sahaja.
Wallahualam.

0 comments:
Post a Comment