Virus menyerang...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad serta ahli keluarga dan sahabat baginda...


“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

Sekarang ini perkara yang hangat diperkatakan adalah mengenai penularan wabak H1N1 sampai kami mahasiswa USM yang nak mendapatkan kunci bilik baru-baru ni pun perlu menjalani ujian saringan terlebih dahulu..Tapi bukan virus itu yang aku nak ketengahkan. Bukan juga ada virus yang menyerang sistem laptopku.

Setelah sekian lama memegang status sebagai pelajar, virus yang sering menyerang ke dalam diriku ni dan sangat sukar dibendung adalah...virus malas dan suka menangguhkan kerja ke saat akhir. Walaupun tembok keazaman yang kuat dibina tetapi ia tetap dapat diserang oleh virus ini.Biasalah dah lama sangat cuti.



Aku perlu merebut nikmat masa lapang yang ada sekarang sebelum datangnya masa sempit sehingga membuatkan aku akan rasa sangat tertekan nanti walaupun sem ni aku ada ambil subjek stress management..but it doesn't help if i don't prepare myself well.Sakit sangat sebenarnya buat kerja dan study last minute ni sebenarnya..aku dah pernah rasa. Bayangkanlah malam nak exam banyak lagi benda yang perlu dibaca.Aku takkan benarkan ia berulang lagi.

Aku mesti lawan virus ini habis-habisan sebelum ia menular.masa ni sekejap sangat berlalu..bila tersedar dah nak exam tapi banyak benda lagi yang tak settle.Setiap orang dikurniakan dengan jumlah masa yang sama iaitu 24 jam tetapi yang membezakan bagaimana seseorang itu menguruskannya.Walau sesibuk manapun mesti kena ada masa juga untuk berjemaah di masjid, rehat, tidur, makan,dan sebagainya. Barulah seimbang kehidupan dunia dan akhirat.

JOM SAMA-SAMA KITA BERMUJAHADAH UNTUK MELAKUKAN PERUBAHAN!!

School of life

Sepanjang 2 bulan aku berada di rumah anak yatim terlalu banyak ilmu kehidupan yang aku peroleh secara tidak langsung yang mana sedikit sebanyak telah mambina jati diriku.Yang mana baik dijadikan teladan untuk diamalkan dalam kehidupan dan yang buruk dijadikan sempadan supaya kita lebih berhati-hati dalam kehidupan supaya tidak diamalkan. Aku memerhati corak kehidupan mereka setiap hari dan membuat kesimpulan sendiri berdasarkan ilmu di dada.

Baru aku tersedar..
"Awak kena terima hakikat bahawa setiap anak-anak di sini ramai dikalangan mereka adalah terbiar dan kekurangan kasih-sayang..ada antaranya saya ambil dalam keadaan sehelai sepinggang.jadi awak tak boleh menjangka dan mengharap sesuatu yang tinggi daripada mereka" Pesan isteri YB ADUN kawasan itu yang juga pengerusi asrama tersebut ketika aku mencadangkan beberapa perkara untuk dipertingkatkan ketika mesyuarat.
Aku agak terkejut masa mula-mula sampai kat sini. Sangat berbeza dengan cara hidup aku selama 5 tahun aku tinggal di asrama SMKA TAHAP. Peraturan yang dibuat hanya sekadar peraturan tanpa pelaksanaan yang mantap. Aku tak menyalahkan anak-anak di sini tetapi mungkin pengurusannya yang kurang mantap. Aku sangat sayang masa depan adik-adik di sini sebab hanya dengan ilmu sahaja mereka dapat mengubah cara hidup keluarga mereka tetapi mereka kurang ambil serius tentang soal pembelajaran terutama masa untuk study yang mana bagi aku masa 'prep' yang disediakan oleh pihak sekolah aku dahulu sangat berharga bagi aku untuk mengulangkaji pelajaran. Mereka seperti pahat dan penukul yang mana setiap aktiviti yang dilakukan setiap hari perlu diarah tanpa ada inisiatif sendiri untuk melakukannya. Aku memang tidak berhajat untuk terlalu berkeras dengan mereka memandangkan aku hanya sebentar sahaja menumpang di sini.



Belajar sekadar untuk periksa..

Aku agak sedih sebab banyak perkara-perkara asas tentang agama adik-adik ini tidak tahu. Bila aku tanya tak pernah diajar ke di sekolah mereka kata pernah cuma mereka tidak mempraktikkan apa yang dipelajari. Aku mencadangkan kepada pihak pengurusan supaya mengadakan kuliyah antara maghrib dan Isyak untuk anak-anak di sini kerana bagi aku melalui kerohanian dapat membentuk akhlak dan keperibadian mereka. Ini juga berdasarkan pengalaman aku sebelum ini yang mana segala tazkirah yang disampaikan sepanjang berada di SMKA TAHAP dulu banyak mentarbiyah diri aku yang mana aku gunakan sehingga ke hari ini. Aku pernah terfikir kepada siapalah adik-adik ini hendak rujuk jika mereka ada sebarang masalah yang berkaitan agama selepas ini..Aku dapat melihat minat adik-adik ini untuk mengetahui apabila aku mula mengeluarkan hal-hal yang asas yang berkaitan agama cuma mereka tiada saluran khusus untuk mempelajarinya.

Kemana hilangnya rasa malu seorang muslimah..

Aku sekali lagi terkejut apabila melihat adik-adik muslimah hampir hilang rasa malunya terutamanya dalam hal ikhtilat dengan adik-adik muslimin. Huru-hara di dunia akan berlaku apabila muslimah telah hilang rasa malunya. Tidak malu untuk mendedahkan aurat sesuka hati, mengeluarkan suara-suara yang kesat dan lantang.Aku lebih suka jika mereka merasakan diri bertuhan dimana takut untuk melakukan perkara yang bertentangan walau dimanapun berada kerana yakin bahawa tuhan sentiasa memerhatikan tingkah laku mereka. Malangnya berdasarkan pemerhatian aku mereka lebih takut kepada aku dan staf yang lain. Antaranya bila nampak aku keluar dari bilik baru mereka akan kelam kabut lari untuk cari tudung.

Perjuangan Rasulullah..

Pada ketika ini kisah perjuangan Rasulullah banyak mengubat kedukaan hati aku yang kadang-kadang tak terbendung rasa. Memikirkan yang Rasulullah lebih banyak kesulitan dalam kehidupan hariannya membuat hatiku sedikit terubat.Biasanya kalau aku sedih aku akan luahkan melalui air mata dan tulisan.Aku praktikal sorang jadi tiada kawan untuk diluahkan perasaan.
"Ya Allah kau berilah aku kekuatan dalam menghadapi dugaan yang engkau berikan ini. Kau kuatkanlah semangatku Ya Allah…Hambamu ini lemah sangat rasa nak terduduk rasanya menahan beban yang ku alami ini.. aku perlu bertahan…tahan dengan kerenah manusia yang pelbagai sifatnya..sukar difahami.." Ini antara catatan aku apabila aku tak tahan sangat. Praktikal ini banyak mengajar aku erti kesabaran yang sangat tinggi.Kalau aku tak mampu bersabar pasti banyak perkara yang buruk akan berlaku.Aku tak mahu sebarang masalah wujud antara aku dengan mereka disini. Alhamdulillah memang tiada masalah bila aku menamatkan praktikalku.


Lihat carik di kain sendiri..
Satu lagi perkara penting yang aku belajar adalah kita kadang-kadang terlalu melihat kesilapan orang lain tanpa memikirkan kembali bahawa kita lebih banyak kekurangan sebenarnya. Carik di kain orang yang sedikit dari jauh lagi kita sudah nampak tetapi carik di kain kita yang terlalu besar tidak pernah kita perasan. Mungkin ini suatu penyakit sebenarnya.Lebih baik mengambil langkah untuk berdiam diri berbanding bercakap banyak dan sia-sia.Syaitan telah menyogokkan kita dengan api keseronokan apabila bercakap tentang keburukan orang lain tanpa kita sedar ataupun tidak. Lebih banyak bercakap lebih banyak dosa yang kita lakukan..

Ini adalah sedikit catatan yang dapat aku kongsikan.Yang mana baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah dalam menjalani kehidupan harian.

Lihat saja pada diri kita


Assalamualaikum wbt

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam.Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Apa khabar rasa-rasanya iman kita pada hari ini? Jika iman kita masih sihat pasti jika direnung-renung dan dimuhasabah kembali diri ini pasti mengalir butiran-buturan halus mengenangkan terlalu banyak kelalaian dan kemaksiatan yang dilakukan setiap saat dan ketika tetapi betapa pengasih dan penyayang Nya Allah tidak putus-putus memberikan kita pelbagai kenikmatan.Tidak perlu untuk lihat jauh. Lihat sahaja pada tubuh badan kita sudah terlalu banyak nikmat yang kita perolehi tapi tak pernah sekali kita bersyukur.Jika kita perlu membayar setiap oksigen yang kita sedut pada setiap saat hatta setiap minit dengan harga 1 sen pasti kita mampu untuk membayarnya.tapi sifat Rahman Allah telah memberikan kita dengan percuma sahaja.Pernahkah kita terfikir jika satu ketika nanti Allah menarik nikmat mata kita untuk melihat,nikmat mulut untuk berkata-kata,nikmat kaki untuk berjalan. Adakah kita akan bersangka baik dengan Allah dengan menganggap ia sebagai ujian atau sebaliknya. Allah boleh melakukannya dalam sekelip mata sahaja.Tetapi sudah menjadi lumrah manusia apabila nikmat itu berada di depan mata pasti tak dihargainya tetapi apabila hilang dari pandangan pasti menggelabah jadinya.Malangnya kita sering menggunakannya ke jalan yang tidak diredhai Allah. Bercakap perkara sia-sia, melihat perkara-perkara maksiat, menyentuh mereka yang bukan mahram dan sebagainya. Tak malukah kita pada tuhan pencipta alam yang telah mengurniakan kita dengan pelbagai kenikmatan sedangkan kita berterusan melakukan perkara yang membawa kepada kemurkaan Nya.Betapa angkuh dan sombongnya manusia. Setiap manusia pastinya tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Kita bukan maksum seperti Rasulullah tapi yang membezakan kita adalah seseorang yang apabila melakukan dosa pasti dia kembali semula kepada Allah, menginsafi kesilapannya dengan bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sentiasalah menghisab diri sendiri sebelum dihisab oleh Allah di mahkamah Allah kelak yang mana penyesalan pada ketika itu sudah tidak berguna lagi. Muhasabah kembali amalan harian kita samada lebih baik, sama atau lebih teruk daripada sebelumnya.
Selamat bermuhasabah..