Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts
Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts

merit...merit..and merit

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam

Sekarang ni musim para pengarah dan setiausaha projek atau persatuan untuk key-in data di HEP untuk merit para peserta dan AJK bagi menentukan kelayakan untuk tinggal di desa pada semester depan berdasarkan nilai merit terkumpul. Isu merit ini memang banyak diperkatakan sejak ia diperkenalkan dari segi baik buruknya. Kebaikannya pastilah menggalakkan mahasiswa untuk lebih aktif dan tidak hanya terperap di bilik dan hidup dikerumuni dengan buku, games, internet dan assigments sahaja di samping membina mahasiswa yang lebih berketerampilan dari segi kepimpinan dan sahsiah diri.

Walaubagaimanapun perkara yang menyedihkan apabila program2 kelimuan yang diadakan dihadiri oleh para mahasiswa kerana merit semata-mata dan bukan lagi kerana keikhlasan diri untuk meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan. Hati saya membara juga apabila ada salah seorang sahabat yang mengatakan tak perlulah nak pergi ceramah2 @ forum bukannya ada merit pun. Adakah sudah hilang budaya menuntut ilmu di kalangan kita? Adakah hanya merit menjadi perkara perkara pertama dilihat? Alangkah malangnya jika umat islam mempunyai fikiran sedemikian. Merit jika diberikan hanya imbuhan dunia yang sementara. Ramai di kalangan kita tidak mampu melihat dengan mata hati imbuhan akhirat yang bakal diperoleh malah lebih besar dan berharga daripada imbuhan dunia yang sementara ini.Perkara ini bukan sahaja menjalar di kalangan mahasiswa malah di kalangan staf juga apabila sistem mata CPD diperkenalkan.

Sama-samalah kita muhasabah diri. Adakah selama ini amal yang kita lakukan adalah berdasarkan ilmu yang sahih dan dipelajari atau berdasarkan ikut-ikutan sahaja? Malah ayat quran pertama diturunkan juga menyuruh kita membaca dan memperdalami ilmu pengetahuan. Sejauh mana kita umat islam menghayatinya pada hari ini?

Wallahualam


*jika setiap kali solat jemaah kita dapat RM27 pasti penuh kan masjid.Tapi nilaian 27 kali ganda tu tak dapat dilihat dan dinilai oleh kita umat islam.

Mengakui kesilapan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Apa reaksi anda apabila ditangakap atau dituduh atas sesuatu kesalahan yang memang anda lakukannya?

Ada yang redha, tenang dan menerimanya dengan hati terbuka dan tak kurang juga yang memberontak dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar kerana tidak berpuas hati dengan tindakan diambil walaupun dia tahu dia memang salah. Reaksi manusia memang
pelbagai. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

Walaubagaimanapun kita sebagai muslim mesti yakin bahawa jika sesuatu kesalahan yang kita lakukan tidak dilihat oleh manusia yakinlah bahawa kita ada Tuhan yang Maha Melihat, Maha Menghitung dan Maha Adil ke atas segala tingkah laku kita di dunia. Walau sebesar zarah sekalipun kejahatan atau kebaikan yang kita lakukan ia tetap akan dihitung oleh Allah yang Maha Adil. Malaikat Raqib dan A'tid tidak pernah tidur untuk mencatat amalan kita.

Kita sering dihidangkan di dada-dada akhbar tentang manusia yang suka menyebarkan fitnah dan menghina antara satu sama lain dengan pelbagai cara dilakukan untuk menarik perhatian ramai. Ada juga yang terlibat dengan jenayah merogol, merompak, rasuah dan sebagainya. Bagaimana jika mereka yang bersalah ini mengupah peguam yang hebat sehingga mereka menang kes sedangkan mereka memang bersalah? perkara ini bergantung kepada iman dan taqwa yang ada dalam diri. Jika kita yakin adanya hari pembalasan pasti kita yakin bahawa jika di dunia ini kita dengan gembira terlepas daripada hukuman di akhirat kelak kita tidak akan terlepas daripada hukuman Allah sekiranya kita tidak mahu bertaubat.

Satu pengajaran yang saya dapat hari ini adalah saya mesti mengakui kesilapan diri. Saya memang salah. Saya yang melanggar peraturan asrama yang sudah tertulis mengharamkan para penghuni desa daripada membawa alat elektrik. Saya redha. Tiada gunanya saya menggunakan mulut yang Allah pinjamkan ini untuk menyumpah dan memarahi mereka yang menjalankan tugas mereka. Satu tazkirah yang saya peroleh semasa rancangan usrah rasa hati di ikim baru-baru ini kita tidak harus merasa gusar dengan dengan kehilangan harta dunia kerana ia bukan hak milik mutlak kita. Semua yang ada di dunia adalah pinjaman Allah untuk kita sebagai hambanya.

Andai sahaja kita mampu untuk tidak melupakan walau sekelip mata pun tentang cinta ALLAH, pasti hidup ini tiada (walau sedikitpun) kesengsaraan.

Sentiasalah merasakan kebersamaan Allah swt dalam kehidupan kita.

Belajar dari kesilapan

Wallahualam

Belajar untuk sabar dan menahan kemarahan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sabar dan menahan kemarahan. Dua perkara yang mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain. Apabila seseorang dalam keadaan marah kita minta dia untuk menahan kemarahannya dengan bersabar tapi mengungkapkannya sememangnya mudah tapi melaksanakannya ramai yang tewas di kala api kemarahan sedang marak di dalam diri. Fenomena sekarang yang hangat diperkatakan tentang pembakaran gereja mungkin salah satu puncanya bermula daripada perasaan marah yang membuak-buak dalam diri. Alangkah malunya jika ia dilakukan oleh mereka yang beragama Islam yang sudah sedia mengetahui bahawa "sabar itu separuh daripada iman" dan kemarahan bukan jalan penyelesaian terbaik malah mengeruhkan lagi keadaan.

Sabda Rasulullah sallallahualaihiwasallam;

Maksudnya:
"Bukanlah seorang yang kuat itu seorang yang kuat bertinju tetapi seorang yang kuat ialah yang dapat menguasai dirinya di waktu marah" (Muttafaqun 'alaih)


Secara jujurnya saya juga kadang-kala tidak sabar dan sukar menahan kemarahan terutama apabila berdepan dengan adik-adik di rumah. Tambahan pula peranan sebagai anak sulung yang perlu dimainkan. Kita kadang-kadang berang apabila nasihat, teguran dan arahan kita tidak diendahkan oleh adik-adik. Perkara yang saya akan buat kalau rasa nak marah sangat adalah berdiam diri sebab kalau saya melakukan sesuatu perbuatan atau mengeluarkan kata-kata dalam keadaan marah pasti terlalu banyak salah yang akan saya buat dan pastinya saya akan menyesal dengan tindakan tersebut. "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal tak sudah".Satu lagi perkara yang perlu saya hadapi adalah bidang kerjaya saya yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

"Kebiasaannya mak cik mula makan pukul berapa waktu pagi?"
"Mak cik biasa makan pukul 8 pagi"
"Biasanya mak cik makan apa?"
"Entahla kadang-kadang roti kadang-kadang makan oat......"
"Antara dua tu mana yang lebih kerap dalam seminggu?"
"Entahla ikut ada la"

Ini antara perbualan antara dietitian dengan pesakit. Sukar sangat nak dapatkan maklumat yang tepat daripada pesakit. Entahla saya mampu bersabar ke tak dengan mereka ini untuk 20-25 tahun yang akan datang lagi ni. Walaubagaimanapun saya mesti bersabar dan berfikiran positif. Mereka datang kepada kita untuk mendapatkan pertolongan dan kita mesti "stand in their shoes". Fahami masalah mereka. Mendengar masalah mereka juga telah menyelesaikan hampir 50% masalah mereka.

Wallahualam.

Ambil iktibar dari seorang adik

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Alhamdulillah di saat saya menulis ini saya sudah menempuhi semua kertas peperiksaan akhir semester 1 tahun 3 sebagai pelajar dietetik USMKK.Saya berserah segalanya kepada Allah setelah segala usaha yang telah dilakukan.Adik saya kini sedang menduduki peperiksaan SPM.Teruskanlah perjuanganmu adikku.Telah ramai yang telah berjaya dengan SPM mereka jadi kita harus buktikan bahawa kita juga mampu melakukan yang terbaik.Insyaallah kak sentiasa doakan kejayaanmu.Juga buat semua adik-adik di SMKA TAHAP, Jerantut. Naikkan nama sekolah kita dengan pencapaian cemerlang anda. Juga buat adik di rumah anak yatim PERKAYA di tempat saya menjalani latihan baru-baru ini. Buktikan bahawa anak yatim juga boleh berjaya walau tanpa mak ayah disisi.Andalah yang akan merubah nasib keluarga di masa depan.

Sebelum peperiksaan SPM bermula baru-baru ini saya ada menghantar kad Good luck untuk adik saya bersama dengan buku "catatan hati Nik Nur Madihah" pelajar terbaik SPM tahun lepas. Secara jujurnya saya memang sangat kagum dengan adik ini. Saya mahu adik saya menjadikan Madihah sebagai contoh dan pemangkin semangat untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh.


Kadangkala rasa terkilan pun ada apabila membaca kisah anak muda yang hatinya sangat suci dengan pelbagai rintangan yang perlu dilalui sepanjang kehidupannya sebelum mencapai kejayaan 20A dalam SPM. Walaupun kita lebih senior daripada beliau tapi tidak salah jika kita mahu belajar daripadanya tentang rahsia kejayaannya. Kesimpulan yang saya dapat daripada kisah Madihah dalam kejayaannya adalah kekuatan rohaninya. Walau sekuat manapun kita belajar tapi tanpa pergantungan yang kuat kita dengan Allah usaha kita akan kurang diberkati. Kehidupan beliau yang subur dengan bia'h solehah dengan amalan ibadah puasa sunat dan tahajud menjadikan beliau lebih kuat dan kental dalam mengharungi kehidupan.

Kisah beliau juga memberikan saya kesedaran untuk bersyukur dengan nikmat yang telah berada depan mata. Saya dari keluarga yang boleh dikatakan sederhana dari segi status sosioekonomi. Boleh dikatakan banyak perkara yang saya mahukan semasa sekolah dulu saya cuma minta abah belikan dan kebiasaannya jarang sangat kalau saya tak dapat barang yang saya nakkan terutama berkaitan dengan pelajaran seperti buku rujukan, kamus, peralatan tulis dan sebagainya tetapi masih tidak bersungguh-sungguh untuk belajar. Madihah berjaya membuktikan bahawa anak seorang nelayan dan tukang sapu boleh berjaya dengan cemerlang walaupun tanpa kemudahan yang mencukupi. Perkara yang membuatkan saya terkilan adalah apabila memikirkan yang dia sanggup menyalin kamus kerana tidak mahu menyusahkan ibubapanya untuk membelikannya kamus.

Semoga Madihah menjadi ikon kepada anak-anak muda kini untuk lebih sukses dalam kehidupan bukan sahaja kebahagiaan di dunia yang dicari tapi juga kebahagian akhirat itu yang menjadi matlamat utama.

Wallahualam.


Madrasah Ramadhan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Salam Ramadhan Al-Mubarak.
Ramadhan bulan pesta ibadah,bulan pentarbiyahan jiwa.
Diawalnya rahmat,pertengahannya maghfirah dan penghujungnya pembebasan daripada api neraka.

Seharusnya kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana masih memberi kita peluang untuk bertemu dengan satu bulan yang sangat2 dinantikan oleh orang2 beriman iaitu Ramadhan al-mubarak.Kita tidak tahu adakah mungkin ini ramadhan yang terakhir bagi kita dan adakah kita sempat menghabiskan ramadhan pada kali ini kerana ada antara saudara kita yang telah dipanggil Ilahi sebelum sempat bertemu ramadhan yang seterusnya.



"Madrasah Ramadhan"
Mungkin kita boleh tanyakan pada diri masing2 sudah berapa kali kita diberi peluang oleh Allah untuk berada dalam "madrasah Ramadahan" setelah kita akil baligh.
Jika seorang yang telah berumur 40 tahun dan telah hampir 30 tahun memasuki madrasah yang sama iaitu "madrasah Ramadhan" tetapi masih tidak mampu untuk memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik maka boleh dinilai sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaannya. Alangkah ruginya..
Hal ini boleh diibaratkan seperti seseorang yang berada di sebuah sekolah dan telah banyak kali mengulang sesuatu ujian tetapi masih gagal. Ini jelas menunjukkan ketidaksugguhannya dalam menuntut ilmu.
Allah telah menyediakan satu bulan khusus untuk kita hambanya untuk mentarbiyah dan mempersiapkan diri untuk mengharungi kehidupan di bulan2 yang seterusnya.Jadi seharusnya kita menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan amal ibadat.

Ibadah puasa mengajar erti Ihsan

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Ihsan itu ialah bahawa ”Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu;”

(hadith riwayat Muslim daripada Umar bin Khattab)


Kita sentiasa berusaha untuk mendapatkan kekhusyukan dalam mengerjakan segala ibadah khususnya ibadah solat dan salah satu caranya adalah dengan mewujudkan rasa ihsan dalam diri semasa beribadah dan melaksanakan tanggungjawab harian.
Bagaimana dengan ibadah puasa mampu memupuk sifat ihsan dalam diri kita?
Seseorang yang mengatakan dirinya berpuasa dan sifat ihsan tidak mampu menjadi benteng dalam diri pasti ada kemungkinan untuk dia menelan air semasa mandi atau berwuduk secara sengaja kerana baginya tiada siapa yang tahu. Maka disinilah sifat ihsan dan keimanan dalam diri memainkan peranan sebagai 'polis' dalaman kepada diri kita di mana kita sentiasa merasakan keasaan Allah yang tidak pernah tidur untuk memerhatikan tindak tanduk kita seharian untuk dipertontonkan di 'mahkamah'Nya suatu hari nanti. Orang beriman pasti yakin dengan janji2 Allah yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan hadis.




Sama-samalah kita berlumba-lumba untuk melipat gandakan amal ibadah kita sepanjang bulan Ramadhan ini untuk mempersiapkan diri untuk 11 bulan yang seterusnya. Walaupun ia hanya ibadah2 sunat tetapi ganjaran ini hanya disediakan oleh Allah pada bulan ini sahaja malah ibadah seperti solat terawih dan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu 'lailatul qadr' hanya ada khusus di dalam bulan Ramadhan ini sahaja. Alangkah ruginya jika kita melepaskan 'tawaran hebat' yang disediakan oleh Allah untuk kita sebagai hambanya.

satu pelajaran baru...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hari ini saya dapat satu pelajaran baru yang bagi saya agak pelik dan menarik untuk dikongsi bersama.

PICA..
Pernah dengar tak tentang word ni?
Sebenarnya ini adalah satu penyakit yang agak ganjil yang kebiasaannya menyerang kanak2.
Mereka yang mempunyai penyakit ini akan lebih terdorong untuk makan apa2 sahaja selain daripada makanan seperti tanah,cat dinding dan sebagainya.


Sebenarnya saya dapat tahu daripada Dr Sakinah tadi time dia mengajar tentang diet kaunseling.
Tiba2 je terkeluar daripada mulut ni time Dr mengajar tadi;
"kenapa tak makan daun ke tahan la sikit"..hehe.
Dr cerita tentang pengalaman dia jumpa patient yang suka makan cat dinding.

Masalah ini berpunca daripada status ekonomi keluarga yang rendah.kesian kan..
Kanak2 ni time mak ayah keluar pergi cari rezeki mereka duduk kat rumah tak tahu nak makan apa jadi makan jelah apa yang ada disekeliling mereka. Bahaya sangat sebenarnya sebab benda2 yang diorang makan tu mungkin mengandungi logam berat yang berbahaya bagi tubuh mereka tapi perkara ini telah menjadi amalan harian mereka.Mereka juga akan ada masalah paras hemoglobin yang rendah sebab kurang ambil makanan yang bersumberkan protein seperti daging.

Apabila patient seperti ini dibawa berjumpa dietitian biasanya apabila disoal selidik, calories intake harian mereka terlalu sedikit kadang2 tak sampai 100Kcal pun.Sedangkan kalau bagi kanak2 calories intake mereka adalah lebih kurang 1200-1500 kcal sehari bergantung kepada individu.

Sebenarnya perkara ini memberi keinsafan kepada kita supaya bersyukur dengan nikmat makanan dan minuman yang ada di depan mata.Setiap hari kita asyik merungut dan terlalu memilih makanan.Sedangkan banyak saudara2 kita di luar sana yang hampir tiada makanan untuk dimakan.Salah satu hikmah kita disuruh untuk berpuasa(dah tak lama nak masuk bulan Ramdhan ni) pun adalah untuk kita merasa bagaimana kesusahan saudara2 kita yang lain.




Dari Abdullah bin Musawir berkata, "Aku mendengar Ibnu Abbas Radhiyallahu anhu berkata, "Aku mendengar Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda, "Bukanlah orang yang beriman, orang yang dalam keadaan kenyang sedangkan tetangganya berada di sisinya dalam keadaan kelaparan." (HR. Bukhari)

Sama-samalah kita bermuhasabah diri.

Wassalam.

*yang bestnya setiap orang dapat coklat dari DR tadi sebab dia baru balik dari Langkawi.Thanks a lot DR.

Lihat saja pada diri kita


Assalamualaikum wbt

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam.Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Apa khabar rasa-rasanya iman kita pada hari ini? Jika iman kita masih sihat pasti jika direnung-renung dan dimuhasabah kembali diri ini pasti mengalir butiran-buturan halus mengenangkan terlalu banyak kelalaian dan kemaksiatan yang dilakukan setiap saat dan ketika tetapi betapa pengasih dan penyayang Nya Allah tidak putus-putus memberikan kita pelbagai kenikmatan.Tidak perlu untuk lihat jauh. Lihat sahaja pada tubuh badan kita sudah terlalu banyak nikmat yang kita perolehi tapi tak pernah sekali kita bersyukur.Jika kita perlu membayar setiap oksigen yang kita sedut pada setiap saat hatta setiap minit dengan harga 1 sen pasti kita mampu untuk membayarnya.tapi sifat Rahman Allah telah memberikan kita dengan percuma sahaja.Pernahkah kita terfikir jika satu ketika nanti Allah menarik nikmat mata kita untuk melihat,nikmat mulut untuk berkata-kata,nikmat kaki untuk berjalan. Adakah kita akan bersangka baik dengan Allah dengan menganggap ia sebagai ujian atau sebaliknya. Allah boleh melakukannya dalam sekelip mata sahaja.Tetapi sudah menjadi lumrah manusia apabila nikmat itu berada di depan mata pasti tak dihargainya tetapi apabila hilang dari pandangan pasti menggelabah jadinya.Malangnya kita sering menggunakannya ke jalan yang tidak diredhai Allah. Bercakap perkara sia-sia, melihat perkara-perkara maksiat, menyentuh mereka yang bukan mahram dan sebagainya. Tak malukah kita pada tuhan pencipta alam yang telah mengurniakan kita dengan pelbagai kenikmatan sedangkan kita berterusan melakukan perkara yang membawa kepada kemurkaan Nya.Betapa angkuh dan sombongnya manusia. Setiap manusia pastinya tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Kita bukan maksum seperti Rasulullah tapi yang membezakan kita adalah seseorang yang apabila melakukan dosa pasti dia kembali semula kepada Allah, menginsafi kesilapannya dengan bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sentiasalah menghisab diri sendiri sebelum dihisab oleh Allah di mahkamah Allah kelak yang mana penyesalan pada ketika itu sudah tidak berguna lagi. Muhasabah kembali amalan harian kita samada lebih baik, sama atau lebih teruk daripada sebelumnya.
Selamat bermuhasabah..