Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Sabar dan menahan kemarahan. Dua perkara yang mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain. Apabila seseorang dalam keadaan marah kita minta dia untuk menahan kemarahannya dengan bersabar tapi mengungkapkannya sememangnya mudah tapi melaksanakannya ramai yang tewas di kala api kemarahan sedang marak di dalam diri. Fenomena sekarang yang hangat diperkatakan tentang pembakaran gereja mungkin salah satu puncanya bermula daripada perasaan marah yang membuak-buak dalam diri. Alangkah malunya jika ia dilakukan oleh mereka yang beragama Islam yang sudah sedia mengetahui bahawa "sabar itu separuh daripada iman" dan kemarahan bukan jalan penyelesaian terbaik malah mengeruhkan lagi keadaan.
Sabda Rasulullah sallallahualaihiwasallam;
Maksudnya:
"Bukanlah seorang yang kuat itu seorang yang kuat bertinju tetapi seorang yang kuat ialah yang dapat menguasai dirinya di waktu marah" (Muttafaqun 'alaih)
Secara jujurnya saya juga kadang-kala tidak sabar dan sukar menahan kemarahan terutama apabila berdepan dengan adik-adik di rumah. Tambahan pula peranan sebagai anak sulung yang perlu dimainkan. Kita kadang-kadang berang apabila nasihat, teguran dan arahan kita tidak diendahkan oleh adik-adik. Perkara yang saya akan buat kalau rasa nak marah sangat adalah berdiam diri sebab kalau saya melakukan sesuatu perbuatan atau mengeluarkan kata-kata dalam keadaan marah pasti terlalu banyak salah yang akan saya buat dan pastinya saya akan menyesal dengan tindakan tersebut. "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal tak sudah".Satu lagi perkara yang perlu saya hadapi adalah bidang kerjaya saya yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
"Kebiasaannya mak cik mula makan pukul berapa waktu pagi?"
"Mak cik biasa makan pukul 8 pagi"
"Biasanya mak cik makan apa?"
"Entahla kadang-kadang roti kadang-kadang makan oat......"
"Antara dua tu mana yang lebih kerap dalam seminggu?"
"Entahla ikut ada la"
Ini antara perbualan antara dietitian dengan pesakit. Sukar sangat nak dapatkan maklumat yang tepat daripada pesakit. Entahla saya mampu bersabar ke tak dengan mereka ini untuk 20-25 tahun yang akan datang lagi ni. Walaubagaimanapun saya mesti bersabar dan berfikiran positif. Mereka datang kepada kita untuk mendapatkan pertolongan dan kita mesti "stand in their shoes". Fahami masalah mereka. Mendengar masalah mereka juga telah menyelesaikan hampir 50% masalah mereka.
Wallahualam.
Posted by
Rabiatul Adauwiyah Bt Mohd Pauzi
Labels:
muhasabah diri

0 comments:
Post a Comment