Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam.
Sukar saya nak gambarkan perasaan saya pada hari ini. Saya berada di bengkel kesempurnaan solat pagi tadi seperti di awang-awangan sahaja rasanya. Antara perasaan gembira dan syukur. Rasa bersyukur yang tak terhingga kerana Allah memilih saya untuk berada dalam majlis ilmu yang diibaratkan seperti taman-taman syurga. Walaupun pada mulanya saya sangat terkilan apabila diberitahu oleh pihak penganjur tempat sudah penuh tapi di saat-saat akhir Allah mengizinkan saya untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang sangat berguna. Banyak sangat ilmu yang saya peroleh dalam beberapa minggu sempena Minggu Penghayatan Islam Ke-12 ini. Terima kasih kepada semua yang bekerja keras dalam melaksanakan pelbagai program. Semoga Allah memberkati usaha kalian.
Saya sekadar hendak berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi sepanjang kembara ilmu saya;
Sepertimana yang kita ketahui 'file solat' adalah perkara pertama akan dibuka dan dihisab pada hari penghitungan yang mana tiada hari penghitungan yang lebih adil daripada hari tersebut. Jika sempurna solat kita maka lebih mudahlah segala urusan kita yang lain. Jika solat fardhu kurang sempurna maka akan dilihat sekiranya ada solat-solat sunat yang dilakukan untuk menampung lompong-lompong yang ada di dalam solat fardhunya. Jadi marilah kita berusaha untuk bersolat dengan sempurna sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah sempurna syarat sah, rukun, sunat(jangan diambil ringan) dan memelihara daripada perkara yang membatalkannya. Bagaimana untuk bersolat dengan sempurna? jawapannya adalah dengan mempelajarinya melalui para ulama' atau melalui pembacaan.
Susah bukan untuk khusyuk dalam solat? Secara jujurnya saya mengakui. Kita tidak mampu untuk fokuskan diri kita untuk beribadat kepada Allah. Apabila sahaja takbiratulihram diangkat, otak kita akan menerawang ke merata tempat. Hanya badan dan mulut kita sahaja yang bergerak tapi roh atau hati kita tidak bersama-sama bergerak dengannya. Sebelum ini saya dapat perumpamaan daripada usrah rasa hati di ikim tentang orang yang tidak khusyuk ini seperti seorang rakyat yang dipanggil oleh rajanya untuk menghadap tapi apabila sampai ke istana dia hanya melepaskan kudanya sahaja ke dalam istana tapi dirinya berlegar-legar di luar. Pasti raja murka bukan. Satu lagi tadi saya dapat daripada Dr Abd Basit orang yang tidak khusyuk adalah seperti kita memberi hamba yang mati kepada raja. Tiada guna pemberian tersebut malah menyumbang kepada kemurkaan raja. Hari ini kita hati kita sudah terlalu jauh tenggelam dengan keenakan dunia sehingga di dalam solat juga susah untuk kita buang.
Satu lagi kita biasa dengar tentang orang bersolat tapi masih dihumbankan ke dalam neraka. Al-Baghy itu ialah satu lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam yang dalam lagi kotor makanan penghuninya yang khusus untuk orang yang mensia-siakan ibadah solatnya iaitu mereka yang melengahkan solat hingga hampir habis waktu atau hingga masuk ke waktu solat seterusnya. Perkara ini benar-benar menggerunkan saya. Semoga Allah beri saya dan sahabat-sahabat kekuatan untuk istiqamah solat di awal waktu terutamanya solat subuh yang sering menjadi masalah kepada kita untuk melawan nafsu. Terasa berat sangat untuk mengangkat selimut. Terasa susah sangat untuk bangun daripada katil dengan tilam yang empuk. Penghijrahan harus dimulakan daripada sekarang.Ya sekarang.Bukan esok atau lusa lagi. Tambahan pula Dr Danial ada berkongsi tadi bahawa seseorang yang bangun pada masa yang hampir sama setiap hari lebih sihat dan cergas untuk meneruskan tugasan hariannya. Tempoh yang sesuai untuk kita tidur adalah 6-7 jam. Jangan lebih daripada 8 jam atau kurang daripada 4 jam.
Perkara seterusnya yang turut membuat saya termenung panjang setelah menghadiri Forum Bicara Ad-Din yang berkisar tentang saudara-saudara kita di Palestin. 'Palestin merdeka, realiti atau fantasi? Terkilan saya mendengar kisah yang dibawa oleh para ahli panel. Dikala masyarakat kita hari ini sebok dengan hiburan melalaikan mereka di sana bergadai nyawa mempertahankan bumi yang menjadi kiblat pertama kita umat Islam. Kuat benar semangat jihad umat Islam di sana daripada kanak-kanak kecil sehingga kepada orang tua. Di kala masyarakat kita hari terlalu cintakan dunia dan takutkan mati mereka di sana sanggup mempertaruhkan nyawa tanpa ada perasaan takut.Ya memang syahid matlamat mereka. Iman mereka telah benar-benar mantap. Mereka yakin dengan janji Allah. Kita Bagaimana? Jangan duduk goyang kaki tanpa berbuat apa-apa di kala saudara seakidah dengan kita bertarung nyawa menyelamatkan bumi palestin. Sekurang-kurangnya berdoalah setiap hari untuk mereka semoga dengan doa kita tersebut Allah akan akan menurunkan pertolongan dalam bentuk yang kita tak sangka. Apalagi kita boleh buat? Ambil berat isu palestin, berikan sumbangan walau sedikit tapi percayalah ia sangat berharga buat mereka, sebarkan isu ini kepada saudara-saudara kita supaya kita sama-sama cakna, adakan sekatan ekonomi seperti boikot produk yang menyumbang kepada yahudi dan perkara yang turut menyumbang adalah dengan membina sahsiah diri yang baik dalam diri kita serta jangan terlalu lagha. Kita perlu fikirkan juga masalah ummah. Insyaallah Palestin pasti merdeka suatu hari nanti.
Kita hari ini sangat leka dengan keseronokan dunia sehingga kita lupa bahawa hidup kita ini adalah musafir yang destinasi akhirnya antara syurga atau neraka. Saya teringat istilah yang diberi oleh Dr Basit tadi bahawa wanita kita ramai yang 'menudung aurat' (jarang) dan 'membungkus aurat' (ketat) bukan lagi menutup aurat seperti yang disyariatkan. Saya terkilan dan sedih sangat apabila ada rakan-rakan yang asalnya memakai tudung tapi menanggalkannya apabila berada di luar kampus. Benarlah Allah mensyariatkan kepada wanita untuk menutup aurat untuk membezakan seorang muslimah dan bukan muslim. Baru-baru ini rakan saya sampai tak perasan rakannya sendiri kerana dilihatnya seperti bukan lagi seorang muslimah kerana dengan tidak segan silunya menanggalkan tudung.
Marilah kita sama-sama muhasabah kembali diri dengan baki usia yang Allah pinjamkan ini. Adakah wazan(timbangan) kita di akhirat kelak akan berat di bahagaian pahala atau dosa? Jika nak dibandingkan amalan kita ini terlalu sedikit untuk mengecap kenikmatan syurga yang tak ternilai hargnya.Tak terbayang di fikiran kita. Hati kita penuh tercalit dengan dosa dan maksiat? Layakkah kita untuk menjadi penghuni syurga?Atau kita lebih rela direndamkan ke dalam neraka? Jika anda rasa api kecil di dunia ini sudah tak mampu ditahan marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bertaubat di atas segala dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.
Posted by
Rabiatul Adauwiyah Bt Mohd Pauzi
Labels:
catatan ilmu

0 comments:
Post a Comment