Ambil iktibar dari seorang adik

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Alhamdulillah di saat saya menulis ini saya sudah menempuhi semua kertas peperiksaan akhir semester 1 tahun 3 sebagai pelajar dietetik USMKK.Saya berserah segalanya kepada Allah setelah segala usaha yang telah dilakukan.Adik saya kini sedang menduduki peperiksaan SPM.Teruskanlah perjuanganmu adikku.Telah ramai yang telah berjaya dengan SPM mereka jadi kita harus buktikan bahawa kita juga mampu melakukan yang terbaik.Insyaallah kak sentiasa doakan kejayaanmu.Juga buat semua adik-adik di SMKA TAHAP, Jerantut. Naikkan nama sekolah kita dengan pencapaian cemerlang anda. Juga buat adik di rumah anak yatim PERKAYA di tempat saya menjalani latihan baru-baru ini. Buktikan bahawa anak yatim juga boleh berjaya walau tanpa mak ayah disisi.Andalah yang akan merubah nasib keluarga di masa depan.

Sebelum peperiksaan SPM bermula baru-baru ini saya ada menghantar kad Good luck untuk adik saya bersama dengan buku "catatan hati Nik Nur Madihah" pelajar terbaik SPM tahun lepas. Secara jujurnya saya memang sangat kagum dengan adik ini. Saya mahu adik saya menjadikan Madihah sebagai contoh dan pemangkin semangat untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh.


Kadangkala rasa terkilan pun ada apabila membaca kisah anak muda yang hatinya sangat suci dengan pelbagai rintangan yang perlu dilalui sepanjang kehidupannya sebelum mencapai kejayaan 20A dalam SPM. Walaupun kita lebih senior daripada beliau tapi tidak salah jika kita mahu belajar daripadanya tentang rahsia kejayaannya. Kesimpulan yang saya dapat daripada kisah Madihah dalam kejayaannya adalah kekuatan rohaninya. Walau sekuat manapun kita belajar tapi tanpa pergantungan yang kuat kita dengan Allah usaha kita akan kurang diberkati. Kehidupan beliau yang subur dengan bia'h solehah dengan amalan ibadah puasa sunat dan tahajud menjadikan beliau lebih kuat dan kental dalam mengharungi kehidupan.

Kisah beliau juga memberikan saya kesedaran untuk bersyukur dengan nikmat yang telah berada depan mata. Saya dari keluarga yang boleh dikatakan sederhana dari segi status sosioekonomi. Boleh dikatakan banyak perkara yang saya mahukan semasa sekolah dulu saya cuma minta abah belikan dan kebiasaannya jarang sangat kalau saya tak dapat barang yang saya nakkan terutama berkaitan dengan pelajaran seperti buku rujukan, kamus, peralatan tulis dan sebagainya tetapi masih tidak bersungguh-sungguh untuk belajar. Madihah berjaya membuktikan bahawa anak seorang nelayan dan tukang sapu boleh berjaya dengan cemerlang walaupun tanpa kemudahan yang mencukupi. Perkara yang membuatkan saya terkilan adalah apabila memikirkan yang dia sanggup menyalin kamus kerana tidak mahu menyusahkan ibubapanya untuk membelikannya kamus.

Semoga Madihah menjadi ikon kepada anak-anak muda kini untuk lebih sukses dalam kehidupan bukan sahaja kebahagiaan di dunia yang dicari tapi juga kebahagian akhirat itu yang menjadi matlamat utama.

Wallahualam.


0 comments: