Ayuh muda-mudi Islam sekalian

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Bersyukur kepada Allah kerana masih menetapkan saya dalam iman dan islam. Bersyukur juga kerana saya masih dipanjangkan usia untuk menghirup udara segar di bumi tuhan ini. Bersyukur juga kerana saya masih diberi peluang dan ruang masa untuk mencoretkan sesuatu untuk perkongsian bersama.

Alhamdulillah setakat ini saya telah menyelesaikan 4 kertas peperiksaan akhir semester ini. Saya akan meneruskan perjuangan pada minggu hadapan pula bagi 3 kertas peperiksaan yang masih berbaki. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan semangat kepada saya untuk terus mengulangkaji pelajaran. Perjuangan saya akan diteruskan pula oleh adik saya dalam peperiksaan SPM yang akan bermula 18hb ni Insyaallah. Saya benar-benar berharap adik saya ini dapat membuktikan yang terbaik dalam perjuangannya kali ini.Saya sebagai akak tidak pernah rasa cemburu kalau adik-adik di bawah saya menandingi saya untuk mendapat keputusan yang lebih baik daripada yang saya peroleh sebelum ini.Saya nakkan yang terbaik untuk adik-adik saya. Kadang-kadang saya yang terlebih risau bila adik-adik nak menduduki peperiksaan.

Bagaimana Memotivasikan Diri

Saya seringkali mendengar rakan-rakan merungut "kenapa malas sangat nak belajar ni", "macam mana nak dapat semangat untuk menghadap buku ni","setiap kali nak study mesti rasa mengantuk pun datang sekali" dan bermacam-macam lagi lah rungutan yang biasa kita dengar atau mungkin kita sendiri yang pernah mengungkapkannya . Secara jujurnya saya memang sangat takut dan berdebar setiap kali hendak menduduki peperiksaan. Sebarang perkara yang ber"title"kan peperiksaan memang membuatkan jiwa saya tak tenteram. Nak ambil test untuk buat lesen kereta hari tu pun menggelabah bukan main lagi. Walaubagaimanapun kita tak dapat nak lari daripadanya kerana dunia ini memang tempat ujian buat manusia.

"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun"
(Surah Al-Mulk:2)

Allah menyatakan berulang-ulang kali di dalam Al-Quran tentang akibat dan azab yang menanti mereka yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah di muka bumi. Tidakkah perkara ini mampu memberi kita motivasi untuk lebih berhati-hati dalam menguruskan kehidupan? Tidakkah perkara ini mampu memberi kita motivasi untuk lebih berkejar-kejar untuk melaksanakan amal kebajikan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memelihara diri daripada terlibat dengan perkara-perkara maksiat dan bertentangan dengan hukum syarak? Bagi saya jika kita mengkaji isi kandungan Al-Quran melalui pembacaan tafsirnya bagi mereka yang tidak mampu memahami bahasa arab dengan baik pasti menimbulkan kegerunan di hati kita tentang azab-azab yang diceritakan. Kita pasti akan berusaha dengan lebih kuat untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Tidak bolehkah kita mengaplikasikan perkara ini dalam pembelajaran kita. Saya sangat fobia dengan kegagalan dalam peperiksaan. Jadi perkara ini benar-benar memberi saya motivasi untuk terus mengulangkaji pelajaran. Kalau rasa mengantuk pun tak boleh tidur sebab rasa risau sangat. Prinsip yang saya pegang adalah apabila kita tidak mendapat keputusan yang baik, kita yang akan merasa sedih. Mungkin orang lain seperti ibu bapa kita juga akan merasa sedih tetapi saya merasakan diri orang yang mengalaminya lebih-lebih lagi akan mersakan kesedihannya. Jadi apabila nak belajar, tidak perlulah menunggu orang lain untuk memotivasikan kita. Motivasikan diri sendiri.Hal ini terutamanya berlaku kepada adik-adik kita di rumah. Apabila dimarahi mak baru nak baca buku. Walaubagaimanapun mereka mungkin masih kurang matang berbanding kita yang sudah berada di menara gading ini. Belajarlah memotivasikan diri sendiri.

Perkara yang paling penting adalah mengadulah kepada Allah yang menciptakan kita dalam sujud dan tahajud kita. Bila-bila masa sahaja Allah bersedia mendengar pengaduan kita. Rakan-rakan kita adakalanya mungkin juga mempunyai masalah tersendiri untuk diselesaikan dan tidak mampu menjadi pendengar yang terbaik buat kita. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat diri kita. Apa yang bena-benar menyedihkan apabila melihat rakan-rakan seperjuangan yang menjadikan movie-movie yang di download daripada internet atau bermain game yang melalaikan sebagai teman di kala stress menekan diri. Malah perbuatan tersebut menjadikannya lebih lalai sehingga melewat-lewatkan solat, tiada masa untuk mengaji Quran atau mengulangkaji pelajaran tetapi masih ada masa untuk perkara-perkara yang melalaikan ini. Kita lebih sanggup bersengkang mata untuk menonton movie sehingga tidak tidur daripada bersengkang mata untuk bertahajud di malam hari. Fikir-fikirkanlah.
Jangan malas lagi!!!
Bangunlah muda-muda Islam dari lenamu...


0 comments: