Cukuplah kematian sebagai peringatan dan pengajaran buat diriku



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda

"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya".
(Hadis riwayat Muslim)

Hampir setiap hari kita akan dengar di sana-sini tentang berita kematian dan memang tidak dinafikan ramai dikalangan akan berusaha untuk menziarahi si mati bagi memberi penghormatan terakhir terutama jika si mati adalah orang yang kita kenali.

Walaubagaimanapun saya suka untuk melihat bahawa menziarahi si mati sebagai satu tarbiyah yang terbaik bagi kita yang masih hidup sebenarnya.Talkin yang dibacakan lebih kepada untuk menginsafkan kita yang masih hidup untuk memperbaiki amalan kita kerana suatu hari nanti kita akan tetap bersemadi seperti mereka berbanding orang yang telah mati dan telah siap dengan bekal mereka untuk dibawa berjumpa dengan Allah.

Saya agak terkilan kadang-kala apabila melihat sesetengah daripada kita tidak berusaha untuk mengambil peristiwa kematian ini sebagai satu jalan untuk mengislahkan diri mereka kearah yang lebih baik.Mana tidaknya kadang kala mereka datang dalam keadaan aurat yang tidak terjaga, berpakaian yang menjolok mata, sempat lagi berbual perkara sia-sia dan tidak kurang juga yang datang sekadar untuk menjamu selera semata-mata. Saya melihat satu trend yang kurang baik dimana rumah ahli keluarga yang masih sedih dengan kehilangan orang tersayang dijadikan seperti satu majlis keramaian dengan hidangan makanan dan minuman sedangakan kadang-kala si mati masih ada di dalam rumah. Ini sedikit sebanyak telah menyebabkan merosakkan nilai ziarah yang sebenar.Ini realiti yang saya biasa yang perhatikan. Walaubagaimanapun jika mahu diadakan juga hidangan untuk mereka yang hadir perlulah disediakan oleh jiran-jiran yang prihatin di rumah yang berhampiran dan bukan oleh keluarga si mati yang masih kesedihan.

Sesungguhnya mati itu sesuatu yang pasti dan kita perlu sentiasa bersedia untuk menghadapinya dan berwaspada dalam segala tingkah laku kita. Orang yang beriman itu sentiasa berhati-hati dalam setiap gerak-gerinya seperti seseorang yang sedang mengharungi kawasan yang penuh dengan duri pohon semalu.Sentiasalah kita berdoa supaya diakhirkan penghidupan kita dalam Husnul Khatimah(pengakhiran yang baik)dan minta dijauhkan daripada pengakhiran kehidupan kita dalam keadaan sedang melakukan kemaksiatan kepada Allah( suul khatimah).

Setiap orang tidak tahu akan tarikh kematiannya walaupun ada kes tertentu yang melibatkan mereka yang dihukum gantung atau mereka yang didiagnos oleh doktor tentang jangka hayat mereka yang masih berbaki. Walaubagaimanpun itu semua jangkaan manusia dan tiada siapa yang dapat menjangka tarikh kematian mereka yang sebenar. Semua itu adalah rahsia Allah. Jika kita tahu baki kehidupan yang hanya tinggal beberapa ketika pasti semua akan berkejar-kejar untuk melakukan amal kebajikan dan meninggalkan segala urusan dunia. Begitu juga dengan solat berjemaah jika setiap orang diberi RM27 setiap kali selepas mereka selesai menunaikan solat pasti semua akan meninggalkan aktiviti harian mereka untuk mendapatkannya. Walaubagaimanapun semua itu perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan kebanyakan manusia tidak mampu menilai dengan pandangan mata hati dan iman.

Oleh itu cukuplah kematian sebagai peringatan bagi mereka yang masih hidup.
"Beribadatlah seperti kamu hendak mati esok hari dan bekerjalah seperti kamu hendak hidup seribu tahun lagi”

0 comments: