Apa reaksi anda apabila ditangakap atau dituduh atas sesuatu kesalahan yang memang anda lakukannya?
Ada yang redha, tenang dan menerimanya dengan hati terbuka dan tak kurang juga yang memberontak dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar kerana tidak berpuas hati dengan tindakan diambil walaupun dia tahu dia memang salah. Reaksi manusia memang
pelbagai. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.
Walaubagaimanapun kita sebagai muslim mesti yakin bahawa jika sesuatu kesalahan yang kita lakukan tidak dilihat oleh manusia yakinlah bahawa kita ada Tuhan yang Maha Melihat, Maha Menghitung dan Maha Adil ke atas segala tingkah laku kita di dunia. Walau sebesar zarah sekalipun kejahatan atau kebaikan yang kita lakukan ia tetap akan dihitung oleh Allah yang Maha Adil. Malaikat Raqib dan A'tid tidak pernah tidur untuk mencatat amalan kita.
Kita sering dihidangkan di dada-dada akhbar tentang manusia yang suka menyebarkan fitnah dan menghina antara satu sama lain dengan pelbagai cara dilakukan untuk menarik perhatian ramai. Ada juga yang terlibat dengan jenayah merogol, merompak, rasuah dan sebagainya. Bagaimana jika mereka yang bersalah ini mengupah peguam yang hebat sehingga mereka menang kes sedangkan mereka memang bersalah? perkara ini bergantung kepada iman dan taqwa yang ada dalam diri. Jika kita yakin adanya hari pembalasan pasti kita yakin bahawa jika di dunia ini kita dengan gembira terlepas daripada hukuman di akhirat kelak kita tidak akan terlepas daripada hukuman Allah sekiranya kita tidak mahu bertaubat.
Satu pengajaran yang saya dapat hari ini adalah saya mesti mengakui kesilapan diri. Saya memang salah. Saya yang melanggar peraturan asrama yang sudah tertulis mengharamkan para penghuni desa daripada membawa alat elektrik. Saya redha. Tiada gunanya saya menggunakan mulut yang Allah pinjamkan ini untuk menyumpah dan memarahi mereka yang menjalankan tugas mereka. Satu tazkirah yang saya peroleh semasa rancangan usrah rasa hati di ikim baru-baru ini kita tidak harus merasa gusar dengan dengan kehilangan harta dunia kerana ia bukan hak milik mutlak kita. Semua yang ada di dunia adalah pinjaman Allah untuk kita sebagai hambanya.
Andai sahaja kita mampu untuk tidak melupakan walau sekelip mata pun tentang cinta ALLAH, pasti hidup ini tiada (walau sedikitpun) kesengsaraan.
Sentiasalah merasakan kebersamaan Allah swt dalam kehidupan kita.
Belajar dari kesilapan
Wallahualam
'Mana Milik Kita'. Segala yang kita ada pada hari ini bukan milik kita. Semuanya milik Allah yang dipinjamkan kepada kita. Tapi kenapa kita masih berjalan di muka bumi dalam keadaan sombong dan takbur. Menggunakan anggota tubuh pinjaman Allah untuk melakukan kemaksiatan. Tak malukah kita?
Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam.
Sukar saya nak gambarkan perasaan saya pada hari ini. Saya berada di bengkel kesempurnaan solat pagi tadi seperti di awang-awangan sahaja rasanya. Antara perasaan gembira dan syukur. Rasa bersyukur yang tak terhingga kerana Allah memilih saya untuk berada dalam majlis ilmu yang diibaratkan seperti taman-taman syurga. Walaupun pada mulanya saya sangat terkilan apabila diberitahu oleh pihak penganjur tempat sudah penuh tapi di saat-saat akhir Allah mengizinkan saya untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang sangat berguna. Banyak sangat ilmu yang saya peroleh dalam beberapa minggu sempena Minggu Penghayatan Islam Ke-12 ini. Terima kasih kepada semua yang bekerja keras dalam melaksanakan pelbagai program. Semoga Allah memberkati usaha kalian.
Saya sekadar hendak berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi sepanjang kembara ilmu saya;
Sepertimana yang kita ketahui 'file solat' adalah perkara pertama akan dibuka dan dihisab pada hari penghitungan yang mana tiada hari penghitungan yang lebih adil daripada hari tersebut. Jika sempurna solat kita maka lebih mudahlah segala urusan kita yang lain. Jika solat fardhu kurang sempurna maka akan dilihat sekiranya ada solat-solat sunat yang dilakukan untuk menampung lompong-lompong yang ada di dalam solat fardhunya. Jadi marilah kita berusaha untuk bersolat dengan sempurna sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah sempurna syarat sah, rukun, sunat(jangan diambil ringan) dan memelihara daripada perkara yang membatalkannya. Bagaimana untuk bersolat dengan sempurna? jawapannya adalah dengan mempelajarinya melalui para ulama' atau melalui pembacaan.
Susah bukan untuk khusyuk dalam solat? Secara jujurnya saya mengakui. Kita tidak mampu untuk fokuskan diri kita untuk beribadat kepada Allah. Apabila sahaja takbiratulihram diangkat, otak kita akan menerawang ke merata tempat. Hanya badan dan mulut kita sahaja yang bergerak tapi roh atau hati kita tidak bersama-sama bergerak dengannya. Sebelum ini saya dapat perumpamaan daripada usrah rasa hati di ikim tentang orang yang tidak khusyuk ini seperti seorang rakyat yang dipanggil oleh rajanya untuk menghadap tapi apabila sampai ke istana dia hanya melepaskan kudanya sahaja ke dalam istana tapi dirinya berlegar-legar di luar. Pasti raja murka bukan. Satu lagi tadi saya dapat daripada Dr Abd Basit orang yang tidak khusyuk adalah seperti kita memberi hamba yang mati kepada raja. Tiada guna pemberian tersebut malah menyumbang kepada kemurkaan raja. Hari ini kita hati kita sudah terlalu jauh tenggelam dengan keenakan dunia sehingga di dalam solat juga susah untuk kita buang.
Satu lagi kita biasa dengar tentang orang bersolat tapi masih dihumbankan ke dalam neraka. Al-Baghy itu ialah satu lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam yang dalam lagi kotor makanan penghuninya yang khusus untuk orang yang mensia-siakan ibadah solatnya iaitu mereka yang melengahkan solat hingga hampir habis waktu atau hingga masuk ke waktu solat seterusnya. Perkara ini benar-benar menggerunkan saya. Semoga Allah beri saya dan sahabat-sahabat kekuatan untuk istiqamah solat di awal waktu terutamanya solat subuh yang sering menjadi masalah kepada kita untuk melawan nafsu. Terasa berat sangat untuk mengangkat selimut. Terasa susah sangat untuk bangun daripada katil dengan tilam yang empuk. Penghijrahan harus dimulakan daripada sekarang.Ya sekarang.Bukan esok atau lusa lagi. Tambahan pula Dr Danial ada berkongsi tadi bahawa seseorang yang bangun pada masa yang hampir sama setiap hari lebih sihat dan cergas untuk meneruskan tugasan hariannya. Tempoh yang sesuai untuk kita tidur adalah 6-7 jam. Jangan lebih daripada 8 jam atau kurang daripada 4 jam.
Perkara seterusnya yang turut membuat saya termenung panjang setelah menghadiri Forum Bicara Ad-Din yang berkisar tentang saudara-saudara kita di Palestin. 'Palestin merdeka, realiti atau fantasi? Terkilan saya mendengar kisah yang dibawa oleh para ahli panel. Dikala masyarakat kita hari ini sebok dengan hiburan melalaikan mereka di sana bergadai nyawa mempertahankan bumi yang menjadi kiblat pertama kita umat Islam. Kuat benar semangat jihad umat Islam di sana daripada kanak-kanak kecil sehingga kepada orang tua. Di kala masyarakat kita hari terlalu cintakan dunia dan takutkan mati mereka di sana sanggup mempertaruhkan nyawa tanpa ada perasaan takut.Ya memang syahid matlamat mereka. Iman mereka telah benar-benar mantap. Mereka yakin dengan janji Allah. Kita Bagaimana? Jangan duduk goyang kaki tanpa berbuat apa-apa di kala saudara seakidah dengan kita bertarung nyawa menyelamatkan bumi palestin. Sekurang-kurangnya berdoalah setiap hari untuk mereka semoga dengan doa kita tersebut Allah akan akan menurunkan pertolongan dalam bentuk yang kita tak sangka. Apalagi kita boleh buat? Ambil berat isu palestin, berikan sumbangan walau sedikit tapi percayalah ia sangat berharga buat mereka, sebarkan isu ini kepada saudara-saudara kita supaya kita sama-sama cakna, adakan sekatan ekonomi seperti boikot produk yang menyumbang kepada yahudi dan perkara yang turut menyumbang adalah dengan membina sahsiah diri yang baik dalam diri kita serta jangan terlalu lagha. Kita perlu fikirkan juga masalah ummah. Insyaallah Palestin pasti merdeka suatu hari nanti.
Kita hari ini sangat leka dengan keseronokan dunia sehingga kita lupa bahawa hidup kita ini adalah musafir yang destinasi akhirnya antara syurga atau neraka. Saya teringat istilah yang diberi oleh Dr Basit tadi bahawa wanita kita ramai yang 'menudung aurat' (jarang) dan 'membungkus aurat' (ketat) bukan lagi menutup aurat seperti yang disyariatkan. Saya terkilan dan sedih sangat apabila ada rakan-rakan yang asalnya memakai tudung tapi menanggalkannya apabila berada di luar kampus. Benarlah Allah mensyariatkan kepada wanita untuk menutup aurat untuk membezakan seorang muslimah dan bukan muslim. Baru-baru ini rakan saya sampai tak perasan rakannya sendiri kerana dilihatnya seperti bukan lagi seorang muslimah kerana dengan tidak segan silunya menanggalkan tudung.
Marilah kita sama-sama muhasabah kembali diri dengan baki usia yang Allah pinjamkan ini. Adakah wazan(timbangan) kita di akhirat kelak akan berat di bahagaian pahala atau dosa? Jika nak dibandingkan amalan kita ini terlalu sedikit untuk mengecap kenikmatan syurga yang tak ternilai hargnya.Tak terbayang di fikiran kita. Hati kita penuh tercalit dengan dosa dan maksiat? Layakkah kita untuk menjadi penghuni syurga?Atau kita lebih rela direndamkan ke dalam neraka? Jika anda rasa api kecil di dunia ini sudah tak mampu ditahan marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bertaubat di atas segala dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.
Sabar dan menahan kemarahan. Dua perkara yang mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain. Apabila seseorang dalam keadaan marah kita minta dia untuk menahan kemarahannya dengan bersabar tapi mengungkapkannya sememangnya mudah tapi melaksanakannya ramai yang tewas di kala api kemarahan sedang marak di dalam diri. Fenomena sekarang yang hangat diperkatakan tentang pembakaran gereja mungkin salah satu puncanya bermula daripada perasaan marah yang membuak-buak dalam diri. Alangkah malunya jika ia dilakukan oleh mereka yang beragama Islam yang sudah sedia mengetahui bahawa "sabar itu separuh daripada iman" dan kemarahan bukan jalan penyelesaian terbaik malah mengeruhkan lagi keadaan.
Sabda Rasulullah sallallahualaihiwasallam;
Maksudnya:
"Bukanlah seorang yang kuat itu seorang yang kuat bertinju tetapi seorang yang kuat ialah yang dapat menguasai dirinya di waktu marah" (Muttafaqun 'alaih)
Secara jujurnya saya juga kadang-kala tidak sabar dan sukar menahan kemarahan terutama apabila berdepan dengan adik-adik di rumah. Tambahan pula peranan sebagai anak sulung yang perlu dimainkan. Kita kadang-kadang berang apabila nasihat, teguran dan arahan kita tidak diendahkan oleh adik-adik. Perkara yang saya akan buat kalau rasa nak marah sangat adalah berdiam diri sebab kalau saya melakukan sesuatu perbuatan atau mengeluarkan kata-kata dalam keadaan marah pasti terlalu banyak salah yang akan saya buat dan pastinya saya akan menyesal dengan tindakan tersebut. "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata menyesal tak sudah".Satu lagi perkara yang perlu saya hadapi adalah bidang kerjaya saya yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
"Kebiasaannya mak cik mula makan pukul berapa waktu pagi?"
"Mak cik biasa makan pukul 8 pagi"
"Biasanya mak cik makan apa?"
"Entahla kadang-kadang roti kadang-kadang makan oat......"
"Antara dua tu mana yang lebih kerap dalam seminggu?"
"Entahla ikut ada la"
Ini antara perbualan antara dietitian dengan pesakit. Sukar sangat nak dapatkan maklumat yang tepat daripada pesakit. Entahla saya mampu bersabar ke tak dengan mereka ini untuk 20-25 tahun yang akan datang lagi ni. Walaubagaimanapun saya mesti bersabar dan berfikiran positif. Mereka datang kepada kita untuk mendapatkan pertolongan dan kita mesti "stand in their shoes". Fahami masalah mereka. Mendengar masalah mereka juga telah menyelesaikan hampir 50% masalah mereka.
Wallahualam.
Alhamdulillah...itulah lafaz yang saya mampu ungkapkan atas apa yang berlaku pada hari ini. Bersyukur kerana Allah masih memanjangjan umurku ini untuk terus bermuhasabah sedalam-dalamnya atas kelemahan dan kelalaian diri. Saya harus bersangka baik kepada Allah. Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Saya masih terasa trauma dengan apa yang berlaku tadi. Hampir 22 tahun saya hidup di muka bumi Allah ini, inilah kali pertama saya terlibat dengan kemalangan walaupun tidak serius tapi ia tetap memberi impak yang besar dalam diri saya. Tuhan sahaja yang tahu betapa kuatnya degupan jantung saya ketika itu. Entahla saya masih boleh bawa motor atau kereta lagi selepas ini walaupun bukan saya yang bawa motosikal tadi. Mungkin fizikal yang sakit tak terasa sangat tapi mental yang sakit kerana terbayang-bayang perkara berlaku kadang-kadang mengganggu emosi. Saya selalu memikirkan perkara yang "kalaulah.......entah apa jadi. Macam tadi kalaulah ada kereta atau motor dari belakang entahla tuhan sahajalah yang tahu.
Saya pernah mengalami trauma yang sama ketika mula2 belajar kereta dahulu.Walaupun kejadian hanya berlaku di depan rumah sahaja dan tak de sebarang kecederaan, tapi 2-3 hari juga saya trauma. Sampai sekarang saya takut nak bawa kereta. Memang kita biasa dengar perkara yang kita takut kita perlu hadapi untuk menghilangkan traumanya tapi pemikiran negatif yang membelenggu pemikiran sukar dihapuskan. Minggu lepas saya beberapa kali dimotivasikan untuk membuang "imagenary wall" yang kita buat sendiri sehingga kita merasa kita tak mampu melakukannya tapi ia tidak memberi apa2 kesan jika saya sendiri tak mahu berubah.
Ya Allah Ya tuhanku berikanlah aku kekuatan....
-Adauwiyah-
Apa khabar semua? Kini, saya dan rakan-rakan perlu meneruskan lagi perjuangan baru bagi semester baru yang agak mencabar. Hari ini merupakan hari pertama saya menjejakkan kaki ke klinik dietetik pesakit luar. Sememangnya teori dan praktikal itu benar2 berbeza pengalaman dan caranya. Banyak lagi perkara perlu diperbaiki bagi menampung kelemahan diri jika saya mahu menjadi seorang dietitian yang baik suatu hari nanti untuk menyumbang kepada masyarakat.
Saya tak pernah meletakkan cita-cita saya untuk menceburkan diri dalam bidang ini suatu ketika dahulu. Kita hanya mampu merancang Allah yang menentukan segalanya yang terbaik buat hambanya. Alhamdulillah saya memang sangat berminat untuk mendalami bidang ini sekarang. Bidang pemakanan ni memang dekat dengan kita. Tiap2 hari kita makan dan segala penyakit juga bermula kebanyakan dari pemakanan seharian. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah mengingatkan kita supaya bersederhana dalam semua perkara termasuk pemakanan-"Makan sebelum lapar berhenti sebelum kenyang"
Baru2 ni saya berkesempatan mendengar kuliyah disampaikan ustaz Fatah tentang memburu berkat dalam belajar. Syarat utama bagi kita untuk memburu keberkatan dalam belajar adalah bermula dengan niat yang baik, perlu ada keikhlasan dalam menuntut ilmu, menjaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan sesama manusia (Rasulullah sallallahualaihiwasalam, ibubapa, guru dan rakan2.
Amirul Mukminin Abi Hafsh Umar bin Khattab R.A berkata,aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda,
“Sesungguhnya amal perbuatan itu disertai dengan niat dan setiap orang mendapat balasan amal yang sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah hanya kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya.Barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang ia harapkan atau kerana wanita yang ingin ia nikahi, maka hjrahnya itu menuju yang ia ingini”.
(Bukhari dan Muslim)
Kita perlu muhasabah kembali diri sendiri mengapa kita belajar? Adakah kerana paksaan ibubapa? atau kerana mahukan pangkat tinggi, gaji yang mahal atau mahu disanjung tinggi oleh masyarakat kerana ketinggian ilmu? Entahla saya pun kadang2 pernah terfikir perkara2 ni. Kita sebagai seorang muslim sepatutnya menuntut ilmu sebagai tanda perhambaan kita kepada Allah dan untuk beramal kepadaNya. Dengan ilmu yang kita ada, kita dapat membantu masyarakat di sekeliling dan menyumbang kepada agama sebelum mereka yang bukan Islam mengambil peluang ini. Mereka yang bukan Islam sentiasa mengintip peluang untuk membantu masyarakat disamping menyebarkan fahaman mereka sedikit demi sedikit. Seorang doktor yang bertaqwa mampu membantu pesakitnya mendekatkan diri kepada Allah. Banyak dikalangan pesakit di hospital yang tidak bersolat dan berasa dukacita dengan kesakitan yang dialami. Alangkah indahnya jika ramai dari kalangan doktor muslim boleh membantu mengingatkan pesakitnya untuk melaksanakan perintah Allah dan redha dengan ketentuannya. Pesakit selalunya lebih yakin dengan kata2 doktor sebab mereka mahu sembuh daripada penyakit. Professional muslim bukan sahaja merawat fizikalnya tetapi juga merawat spiritualnya.
Seorang ahli professional yang baik seperti seorang doktor muslim mampu menyumbang dengan menubuhkan yayasan atau persatuan bagi membantu memberi rawatan percuma kepada golongan miskin dan bukannya membuka klinik dan mengenakan bayaran yang tinggi dan tidak mampu dibiayai oleh golongan yang mempunyai status sosioekonomi yang rendah. Kita semua adalah hamba Allah tak kira kaya atau miskin, kerja sebagai doktor atau sebagai petani. Semuanya perlu diberi hak dan layanan yang sama. Secara jujurnya saya sangat kagum dengan Syed Bukhari yang melakukan pelbagai usaha untuk membantu masyarakat terutama golongan miskin. Walaubagaimanapun semuanya perlu kepada ilmu.
Konsep niat ini mempunyai implikasi yang besar kepada kita. Bayangkan jika niat kita sudah lari dari tujuan asal, setiap yang kita lakukan seterusnya juga akan lari dari jalan yang sebenar. Soal keberkatan juga akan timbul impak daripada niat yang tidak baik yang membawa kepada hasil rezeki yang diperoleh.
Seterusnya, walau sesibuk manapun kita, hubungan dengan Allah perlu dijaga dengan melakukan segala perintahnya dan meninggalkan larangannya. Saya juga mengingatkan diri ini yang seringkali alpa. Janganlah kerana keletihan dan kesibukan, kita melengah-lengahkan solat, tidak mempu meluangkan masa untuk ke masjid bagi bersolat berjemaah dan berada dalam majlis ilmu. Akhirnya, kita perlu jaga hubungan sesama manusia. Kita harus mengamalkan sunnah Rasulullah, jaga hubungan dengan ibubapa, guru2 dan rakan2. InsyaAllah kita mampu memperoleh keberkatan dalam menuntut ilmu dan seterusnya dalam segala urusan kehidupan.
Alhamdulillah saya baru pulang setelah mengikuti lawatan Rakan Masjid Pusat Islam USMKK ke Kuala Lumpur( Masjid Wilayah Persekutuan dan PERKIM) dan Universiti Teknologi Petronas di Perak. Lawatan ini diadakan untuk sama-sama bertukar pendapat bagi memantapkan lagi kepimpinan dan program-program dakwah yang dijalankan di tempat masing-masing.
Di Masjid Wilayah Persekutuan
Masjid ini menjadi pusat untuk pelbagai aktiviti masyarakat dengan pelbagai kemudahan seperti adanya Sekolah Rendah Agama, dewan untuk menjalankan aktivti yang sangat luas, dewan pernikahan pun ada, tempat riadah, tempat penginapan banyak lagi la. Kalau datang ke Kuala Lumpur boleh singgah tapi hati-hati takut sesat je sebab luas sangat. Perkara yang perlu diingatkan adalah masjid dibina sebagai tempat ibadah dan pusat aktiviti masyarakat sebagaimana dilaksanakan pada zaman Rasulullah. Jangan terlalu bermegah dengan senibinanya tapi tidak mahu mengimarahkannya.
Kami ke PERKIM untuk menjalankan usahama bagi menubuhkan Kelab PERKIM di USMKK. Alhamdulillah persetujuan penubuhan telah disampaikan oleh Dr Wan Nudri sebagai Timbalan pengarah Pusat Islam kami.
Kami membuat lawatan ke UTP untuk bertukar-tukar maklumat dan pandangan dengan Rakan Masjid di UTP. Alhamdulillah banyak perkongsian yang dapat diperolehi dan sangat seronok sebab dapat sahabat2 baru yang sangat baik dan mesra. Jazakallahukhairan kasira buat sahabat2 di UTP kerana sudi melayani kami dengan baik walaupun ada di kalangan mereka masih dalam demam peperiksaan.

Alhamdulillah di saat saya menulis ini saya sudah menempuhi semua kertas peperiksaan akhir semester 1 tahun 3 sebagai pelajar dietetik USMKK.Saya berserah segalanya kepada Allah setelah segala usaha yang telah dilakukan.Adik saya kini sedang menduduki peperiksaan SPM.Teruskanlah perjuanganmu adikku.Telah ramai yang telah berjaya dengan SPM mereka jadi kita harus buktikan bahawa kita juga mampu melakukan yang terbaik.Insyaallah kak sentiasa doakan kejayaanmu.Juga buat semua adik-adik di SMKA TAHAP, Jerantut. Naikkan nama sekolah kita dengan pencapaian cemerlang anda. Juga buat adik di rumah anak yatim PERKAYA di tempat saya menjalani latihan baru-baru ini. Buktikan bahawa anak yatim juga boleh berjaya walau tanpa mak ayah disisi.Andalah yang akan merubah nasib keluarga di masa depan.
Sebelum peperiksaan SPM bermula baru-baru ini saya ada menghantar kad Good luck untuk adik saya bersama dengan buku "catatan hati Nik Nur Madihah" pelajar terbaik SPM tahun lepas. Secara jujurnya saya memang sangat kagum dengan adik ini. Saya mahu adik saya menjadikan Madihah sebagai contoh dan pemangkin semangat untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh.

Kadangkala rasa terkilan pun ada apabila membaca kisah anak muda yang hatinya sangat suci dengan pelbagai rintangan yang perlu dilalui sepanjang kehidupannya sebelum mencapai kejayaan 20A dalam SPM. Walaupun kita lebih senior daripada beliau tapi tidak salah jika kita mahu belajar daripadanya tentang rahsia kejayaannya. Kesimpulan yang saya dapat daripada kisah Madihah dalam kejayaannya adalah kekuatan rohaninya. Walau sekuat manapun kita belajar tapi tanpa pergantungan yang kuat kita dengan Allah usaha kita akan kurang diberkati. Kehidupan beliau yang subur dengan bia'h solehah dengan amalan ibadah puasa sunat dan tahajud menjadikan beliau lebih kuat dan kental dalam mengharungi kehidupan.
Kisah beliau juga memberikan saya kesedaran untuk bersyukur dengan nikmat yang telah berada depan mata. Saya dari keluarga yang boleh dikatakan sederhana dari segi status sosioekonomi. Boleh dikatakan banyak perkara yang saya mahukan semasa sekolah dulu saya cuma minta abah belikan dan kebiasaannya jarang sangat kalau saya tak dapat barang yang saya nakkan terutama berkaitan dengan pelajaran seperti buku rujukan, kamus, peralatan tulis dan sebagainya tetapi masih tidak bersungguh-sungguh untuk belajar. Madihah berjaya membuktikan bahawa anak seorang nelayan dan tukang sapu boleh berjaya dengan cemerlang walaupun tanpa kemudahan yang mencukupi. Perkara yang membuatkan saya terkilan adalah apabila memikirkan yang dia sanggup menyalin kamus kerana tidak mahu menyusahkan ibubapanya untuk membelikannya kamus.
Semoga Madihah menjadi ikon kepada anak-anak muda kini untuk lebih sukses dalam kehidupan bukan sahaja kebahagiaan di dunia yang dicari tapi juga kebahagian akhirat itu yang menjadi matlamat utama.
Wallahualam.


Bersyukur kepada Allah kerana masih menetapkan saya dalam iman dan islam. Bersyukur juga kerana saya masih dipanjangkan usia untuk menghirup udara segar di bumi tuhan ini. Bersyukur juga kerana saya masih diberi peluang dan ruang masa untuk mencoretkan sesuatu untuk perkongsian bersama.
Alhamdulillah setakat ini saya telah menyelesaikan 4 kertas peperiksaan akhir semester ini. Saya akan meneruskan perjuangan pada minggu hadapan pula bagi 3 kertas peperiksaan yang masih berbaki. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan semangat kepada saya untuk terus mengulangkaji pelajaran. Perjuangan saya akan diteruskan pula oleh adik saya dalam peperiksaan SPM yang akan bermula 18hb ni Insyaallah. Saya benar-benar berharap adik saya ini dapat membuktikan yang terbaik dalam perjuangannya kali ini.Saya sebagai akak tidak pernah rasa cemburu kalau adik-adik di bawah saya menandingi saya untuk mendapat keputusan yang lebih baik daripada yang saya peroleh sebelum ini.Saya nakkan yang terbaik untuk adik-adik saya. Kadang-kadang saya yang terlebih risau bila adik-adik nak menduduki peperiksaan.
Bagaimana Memotivasikan Diri
Saya seringkali mendengar rakan-rakan merungut "kenapa malas sangat nak belajar ni", "macam mana nak dapat semangat untuk menghadap buku ni","setiap kali nak study mesti rasa mengantuk pun datang sekali" dan bermacam-macam lagi lah rungutan yang biasa kita dengar atau mungkin kita sendiri yang pernah mengungkapkannya . Secara jujurnya saya memang sangat takut dan berdebar setiap kali hendak menduduki peperiksaan. Sebarang perkara yang ber"title"kan peperiksaan memang membuatkan jiwa saya tak tenteram. Nak ambil test untuk buat lesen kereta hari tu pun menggelabah bukan main lagi. Walaubagaimanapun kita tak dapat nak lari daripadanya kerana dunia ini memang tempat ujian buat manusia.
(Surah Al-Mulk:2)
Tidak bolehkah kita mengaplikasikan perkara ini dalam pembelajaran kita. Saya sangat fobia dengan kegagalan dalam peperiksaan. Jadi perkara ini benar-benar memberi saya motivasi untuk terus mengulangkaji pelajaran. Kalau rasa mengantuk pun tak boleh tidur sebab rasa risau sangat. Prinsip yang saya pegang adalah apabila kita tidak mendapat keputusan yang baik, kita yang akan merasa sedih. Mungkin orang lain seperti ibu bapa kita juga akan merasa sedih tetapi saya merasakan diri orang yang mengalaminya lebih-lebih lagi akan mersakan kesedihannya. Jadi apabila nak belajar, tidak perlulah menunggu orang lain untuk memotivasikan kita. Motivasikan diri sendiri.Hal ini terutamanya berlaku kepada adik-adik kita di rumah. Apabila dimarahi mak baru nak baca buku. Walaubagaimanapun mereka mungkin masih kurang matang berbanding kita yang sudah berada di menara gading ini. Belajarlah memotivasikan diri sendiri.
Perkara yang paling penting adalah mengadulah kepada Allah yang menciptakan kita dalam sujud dan tahajud kita. Bila-bila masa sahaja Allah bersedia mendengar pengaduan kita. Rakan-rakan kita adakalanya mungkin juga mempunyai masalah tersendiri untuk diselesaikan dan tidak mampu menjadi pendengar yang terbaik buat kita. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat diri kita. Apa yang bena-benar menyedihkan apabila melihat rakan-rakan seperjuangan yang menjadikan movie-movie yang di download daripada internet atau bermain game yang melalaikan sebagai teman di kala stress menekan diri. Malah perbuatan tersebut menjadikannya lebih lalai sehingga melewat-lewatkan solat, tiada masa untuk mengaji Quran atau mengulangkaji pelajaran tetapi masih ada masa untuk perkara-perkara yang melalaikan ini. Kita lebih sanggup bersengkang mata untuk menonton movie sehingga tidak tidur daripada bersengkang mata untuk bertahajud di malam hari. Fikir-fikirkanlah.
Bangunlah muda-muda Islam dari lenamu...
Assalamualaikumwarahmatullah.
Hampir sebulan saya tak mengupdate blog ini. Walaubagaimanapun mungkin belum terlambat jika saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada semua muslimin muslimat yang meraikannya hasil kemenangan kita berpuasa selama sebulan.
Dalam tempoh sebulan sudah tentu terlalu banyak perkara suka dan duka yang berlaku yang rasanya mahu diceritakan disini tapi tak mungkin semuanya mampu dirungkaikan.
Secara jujurnya saya mahu katakan situasi saya sekarang memang tak stabil sangat..Tertekan@stress mungkin itulah perkataan yang paling sesuai saya katakan..
Kadang2 rasa nak menangis,rasa nak marah..Terlalu banyak perkara yang perlu disettlekan sebelum final exam bermula..
Saya cuba jawab beberapa soalan di bawah dapat dari web untuk melihat risiko ke arah kemurungan.suka2 je jawab sebenarnya tapi kebanyakan soalan memang saya alami.
- I feel sad or down most of the time.
- I've lost interest in the activities I used to enjoy.
- I feel tired almost every day.
- I have problems sleeping. I'm either sleeping too much or staying awake at night.
- My appetite has changed. I'm not eating enough, or I'm eating too much.
- I have trouble concentrating.
- My friends say I'm acting different. I'm either anxious and restless or lethargic.
- I feel worthless or hopeless.
- I'm having frequent headaches, stomach problems, muscle pain, or back problems.
- I find myself thinking a lot about dying.
Sebagai seorang pelajar muslim apa yang yang perlu kita lakukan untuk mengatasinya?
Kita biasa dengar orang yang telan ubat secara berlebihan,minum racun atau bunuh diri apabila stress..tapi kita yang mempunyai pegangan akidah dan tauhid mesti yakin segala yang berlaku di dunia ini sebagai ujian untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita disamping sebagai kifarah kepada dosa2 kita yang tak terhitung banyaknya. Muhasabah kembali diri untuk menilai kembali apa yang telah kita lakukan selama ini adakah bertepatan dengan ajaran islam atau sebaliknya. kadang2 jiwa kita tidak tenang disebabkan dosa2 kita yang terlalu banyak.
Kembalilah kepada Allah dan mengadulah kepadaNya.Allah menjadikan kita dan Allah tahu apa yang terbaik buat diri kita. Hanya Allah tempat pergantungan kita selama2nya. Hanya kepadaNya kita memohon pertolongan.
Saya pernah mengikuti satu ceramah oleh seorang ustaz yang menceritakan tentang seorang anak muridnya yang mengadu mempunyai masalah dalam pelajaran. ustaz bertanya anak muridnya pernah atau tidak bangun disepertiga malam untuk beribadat kepada Allah dan jawapannya tidak.
"Bagaimana Allah hendak membantu kamu jika kamu tidak mahu mendekatkan diri dan meminta kepadaNya"kata ustaz kepada anak muridnya.
Walau sebanyak mana sekalipun masalah yang kita hadapi.Yakinlah ia hanya sementara untuk menguji kita di dunia untuk bekalan kita ke negeri abadi di akhirat. Mengadu dan mohonlah padaNya.
